Ingkar Perintah Selesaikan Tunggakan Gaji, Bekas Pemilik Kelab Bola Sepak Ditahan

LocalEntertainment
16 Oct 2024 • 3:41 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang individu bergelar Datuk yang juga merupakan pemilik Kuantan FA dan Marcerra United ditahan selepas didakwa ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berjumlah RM1.4 juta.

image is not available

Foto: X Zulhelmi Zainal Azam

Menurut laporan Utusan Malaysia, tunggakan gaji tersebut melibatkan 46 pemain dan 12 pegawai kelab itu pada 2018.

Lelaki berusia sekitar 50-an itu ditahan selepas menghadiri prosiding sebutan pertuduhan di Mahkamah Sesyen bagi satu kes penipuan yang berasingan, hari ini.

Menurut peguam bekas pemain dan pegawai dua pasukan bola sepak itu, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak, penahanan tersebut dilakukan berdasarkan perintah komital yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Februari lalu.

Beliau menyatakan bahawa mahkamah telah memutuskan individu berkenaan akan dipenjarakan selama satu minggu kerana melakukan penghinaan mahkamah dengan melanggar perintah yang telah ditetapkan.

“Mahkamah bagaimanapun memberi penangguhan selama dua minggu kepada individu itu bagi memberi peluang terakhir melunaskan tunggakan gaji tersebut.

“Namun, dia bertindak mendiamkan diri dan hanya membayar RM600,000 setakat pertengahan 2023 dan semua tunggakan masih berbaki RM1.4 juta sehingga kini,” katanya.

image is not available

Foto: Utusan Malaysia

Menurut Mohd Suhail, lelaki tersebut akan dihantar ke Penjara Kajang, dan pihaknya akan memulakan prosiding jenayah terhadapnya di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kes penipuan.

Berdasarkan fakta kes, tunggakan sejak 2018 sebanyak RM3 juta dituntut oleh bekas pegawai manakala bekas pegawai menuntut sebanyak RM1.2 juta.

Bekas pegawai dan pemain Marcerra United juga membuat tuntutan dengan anggaran berjumlah RM2 juta dan menjadikan nilai keseluruhan lebih daripada RM6 juta.

Sumber: Utusan Malaysia (Iskandar Shah Mohamed)