Platform penstriman video Apple tersendiri iaitu Apple TV+ dilancarkan pada tahun 2019. Pada awal pelancaran, ia hanya terhad kepada peranti Apple dan akses melalui web. Secara berperingkat selepas setahun, Apple TV+ diberikan kepada webOS untuk televisyen LG, Tizen untuk televisyen Samsung dan Android TV. Kini selepas 6 tahun, akhirnya aplikasi untuk telefon dan tablet Android pula diperkenalkan. Dalam artikel ini akan saya kongsi bagaimana untuk melanggan dan menggunakan aplikasi Apple TV di peranti Android.

Pada telefon atau tablet Android anda, pergi ke gedung aplikasi Play Store dan muat turun Apple TV. Melaluinya, anda boleh menstrim kandungan filem, siri TV, animasi dan dokumentari Apple Originals. Selain itu, pas bermusim MLS turut boleh dilanggan dan diakses terus dari aplikasi ini. Berikut adalah ciri dan fungsi yang disediakan dalam aplikasi;
- Dari tetapan aplikasi, boleh terus ke laman Bayaran & Langganan Play Store.
- Imej kenit (Thumbnail) boleh dipilih sama ada ingin statik atau Seni Poster.
- Bagi yang melanggan MLS, akan ada paparan skor sukan.
- Sejarah main turut boleh dipaparkan.
- Episod seterusnya boleh dimainkan secara automatik.
- Ada sokongan pengehadan kandungan dewasa/sensitif dengan kod.
- Terdapat dua pilihan strim/muat turun iaitu Penjimat Data/Muat Turun Laju atau Kualiti Tinggi.
- Akhir sekali adalah pilihan bahasa untuk memuat turun.

Untuk pemain video, ia menyokong paparan menegak yang jarang ditawarkan oleh aplikasi penstriman video lain. Kemudian terdapat sokongan pilihan sari kata, bahasa dan paparan gambar-dalam-gambar tetapi tiada pilihan mengawal kelajuan main balik. Aplikasi sangat ringkas dengan hanya memaparkan Apple TV+, MLS, Muat Turun dan Cari pada palang di bawah.

Apa yang mengecewakan adalah aplikasi tiada pilihan untuk menggunakan Google Cast. Mungkin Apple ingin mengehadkan penggunaan Apple AirPlay dan aplikasi pada Android TV/Google TV sahaja. Aplikasi Apple TV di Android turut tidak membenarkan pengguna mengakses kandungan digital lain yang pernah dibeli. Akses kepada gedung membeli filem juga tidak dibenarkan buat masa ini.

Untuk kandungan video, Apple turut menawarkan akses kepada kandungan bonus seperti adegan yang pernah dipadam, video kisah di sebalik tabir, temuramah bersama pelakon dan barisan pencipta filem dan banyak lagi. Sokongan penstriman video 4K HDR dan audio berkualiti tinggi Dolby turut boleh dilakukan.

Bagi yang meminati kandungan MLS, aplikasi ini membenarkan anda membeli pas bulanan atau pas bermusim pada hara RM69.90 sebulan atau RM449 setiap musim. Untuk melanggan Apple TV+, tekan sahaja Langgan dan ia akan membuka laman pengebilan Play Store untuk anda melakukan pembayaran melalui Touch ‘n Go, FPX, Boost, ShopeePay atau kad. Harga langganan adalah bermula RM29.90 untuk individu, RM8.90 untuk pelajar (melalui Apple Music) atau pelan Apple One yang bermula RM34.90 sebulan.

Sebagai pengguna setia Apple TV dan menggemari kandungan Apple TV+, aplikasi untuk peranti Android ini adalah amat dihargai lagi-lagi apabila saya sudah beralih sepenuhnya kepada Android. Selepas ini tidak lagi terhad untuk menstrim di pelayar web atau televisyen sahaja. Walaupun tidak sempurna dan banyak ciri tiada, prestasi aplikasi mengejutkan adalah sangat pantas. Ia ringkas dan mudah untuk digunakan.
PRO DAN KELEBIHAN
- Semua kandungan Apple TV+ boleh distrim.
- Sokongan aplikasi natif yang pantas dan lancar.
- Antaramuka mirip aplikasi versi iOS.
- Boleh mengakses kandungan MLS.
- Menyokong muat turun video kualiti tinggi.
- Langganan Apple TV+ boleh diuruskan terus daripada Play Store.
- Akses kepada kandungan bonus.
KONTRA DAN KEKURANGAN
- Tiada kawalan kelajuan seperti aplikasi iOS, iPadOS dan tvOS.
- Tidak memaparkan kualiti sebenar yang disokong, Dolby/4K/DHR, dll.
- InSight tidak disokong.
- Google Cast tidak disokong.
- Kandungan Apple TV yang dibeli tidak boleh diakses.
- Tidak boleh membeli kandungan daripada Apple TV.
- Tiada sokongan tap dua kali untuk langkau.



