Mark Zuckerberg hari ini mengumumkan perluasan pengenalan pelan langganan bulanan untuk perkhidmatan Instagram dan juga Facebook, dinamakan Meta Verified. Melaluinya, ia membolehkan pengguna menambah tanda calit biru atau “verified” bersebelahan dengan nama, sekaligus menambah lagi keyakinan terhadap mereka yang berinteraksi dengan anda pada laman sosial berkenaan.

Meta Verified juga turut menawarkan beberapa ciri tambahan lain, termasuk kadar capaian lebih luas, perlindungan sekuriti daripada akaun palsu yang cuba meniru identiti, sokongan langsung untuk bantuan melibatkan akaun, serta beberapa ciri tambahan lain.

Meta Verified ditawarkan pada harga RM36.99 sebulan melalui web, sementara RM41.99 sebulan melalui aplikasi. Untuk makluman, langganan untuk akaun Instagram akan turut memberikan tanda calit biru untuk Threads sekali. Pengguna perlu langganan berbeza untuk akaun Facebook dan Instagram. Pengguna juga turut perlu menyediakan kad identiti yang perlu dihantar rakamannya untuk proses pengesahan identiti di Facebook atau Instagram.

Proses pengenalan Meta Verified untuk semua pengguna Instagram dan Facebook dilakukan secara berperingkat. Anda boleh menyemak penawaran Meta Verified ini hari ini di laman rasminya.
