“Ini je tempat kami berkarya”, filem pendek ‘Kola Loompor’ raih anugerah berganda

EntertainmentMovie
17 Feb 2026 • 2:11 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Filem pendek ‘Kola Loompor’ mencatat kejayaan cemerlang apabila merangkul beberapa anugerah utama termasuk Sinematografi Terbaik, Skrip Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Pendek Terbaik semasa tayangan perdana CineRoyale di Big Hall, Golden Screen Cinema (GSC), IOI Mall Damansara baru-baru ini.

Kejayaan tersebut menonjolkan hasil kerja berkumpulan yang berkesan serta pendekatan pendidikan praktikal dalam pengajian filem di peringkat universiti.

Pengarah filem, Wan Nur Azwin Wan Nazrul Aisham, 24, berkata, projek ini memberi peluang kepada mereka untuk belajar secara langsung tentang proses penghasilan filem dari perancangan, penggambaran, hingga pasca produksi.

“Kemenangan ini mengesahkan bahawa pembelajaran praktikal sangat penting dalam membina kemahiran sebenar dalam industri filem,” katanya.

Penerbit, Mohamad Aliff Haiqal Roznan, 23, menambah bahawa kumpulan mereka menekankan aspek pembelajaran dan kreativiti untuk menghasilkan filem pendek berkenaan.

“Cabaran penggambaran di Kuala Lumpur tanpa pelakon profesional mengajar kami cara mencari solusi kreatif. Kami belajar bahawa kerja berkumpulan dan inovasi adalah kunci untuk menghasilkan karya berkualiti, walaupun dengan sumber yang terhad. Pengalaman ini tidak ternilai dalam latihan profesional kami,” katanya ketika ditemui MYBERITA.

Sementara itu, penyunting filem, Muhammad Harris Hazrey Mohd Asni, 23, berkata projek ini membantu mereka memahami tekanan sebenar dalam produksi filem, serta kepentingan pengurusan masa dan komunikasi.

“Setiap cabaran memberi pengalaman pembelajaran yang amat berguna untuk kerjaya masa depan kami.”

Filem pendek berkenaan mengisahkan Naeem, seorang warga Bangladesh yang bekerja sebagai tukang sapu di Kuala Lumpur. Dia cuba menjauhkan diri daripada perempuan selepas diberi amaran oleh penyelia. Namun, pertemuannya dengan Zainab, gadis tempatan yang mesra, perlahan-lahan meruntuhkan jarak antara mereka, mengubah cara Naeem melihat dunia di sekelilingnya.

Selain kejayaan tersebut, filem ini dijangka akan dipertandingkan di pertandingan filem pendek luar.