
Keunikan Baju Tradisional Wanita Melanau
Ini Maksud Tersembunyi Disebalik Busana Tradisi Wanita Melanau Sarawak. Jika kita bercakap tentang pakaian tradisional di Malaysia, pasti ramai yang mengenali kebaya, baju kurung, atau songket.
Namun, pernahkah anda mendengar tentang busana tradisional wanita Melanau dari Sarawak yang bukan sahaja memukau mata tetapi juga sarat dengan maksud tersembunyi?

Simbol Status dan Keanggunan Wanita Melanau
Busana tradisional wanita Melanau bukan sekadar pakaian biasa – ia melambangkan status, keanggunan, dan warisan budaya yang kaya.
Busana ini biasanya terdiri daripada baju baldu hitam yang elegan, dihiasi dengan kepih dada dan rantai emas berlapis, serta dipadankan dengan sarung songket yang bercorak unik. Untuk menambahkan keanggunan, pemakai juga mengenakan subang berubai dan gelang aluk yang disusun mengikut pangkat.
Selain itu, kepala dihiasi dengan sanggul burung dan bunga tajuk, melengkapkan penampilan yang penuh kehalusan dan simbolisme budaya.
Pakaian ini biasanya dipakai dalam majlis rasmi seperti perkahwinan, upacara adat, dan sambutan Kaul, iaitu perayaan masyarakat Melanau untuk menghormati semangat laut dan alam.

Komponen Utama Baju Wanita Melanau dan Maksud Disebaliknya
Berikut adalah 13 komponen utama dalam busana tradisional ini serta makna di sebaliknya:
1. Baju Hitam Baldu atau Baju Hitam Baban
Komponen utama busana tradisional Melanau pastinya adalah baju hitam. Baju ini pula terdapat dua jenis iaitu Baju Baldu Hitam dan Baju Hitam Baban. Baju baldu hitam kebiasaannya dipadankan dengan kain sarung songket Berunei tenunan Sarawak, bertali pinggang pending besar, dan diserikan lagi dengan dokoh serta kepih kepala (sanggul).
Baju Hitam Baban pula merupakan baju kurung pendek, pakaian asal pengantin wanita Melanau yang digayakan dengan kain songket merah, dua helai selempang merah, dan perhiasan tambahan seperti kepih dada dan kepih sanggul. Khas bagi Baju Baban Pipieng, di bahagian lengannya pula berbelah ke paras siku dan dihiasi dengan sembilan butang emas.
2. Sanggul Burung dan Bunga Tajuk
Sanggul Burung ialah gaya sanggul khas yang menyerupai bentuk burung, melambangkan kegembiraan, kecantikan dan kelembutan wanita Melanau. Bunga Tajuk pula adalah hiasan bunga emas yang diselitkan pada sanggul, memberi aura eksklusif kepada si pemakai.
3. Subang Berubai
Anting-anting emas ini mempunyai reka bentuk berjuntai atau berumbai, mencerminkan kecantikan dan keanggunan dalam pergerakan si pemakai.
4. Rantai Jiner
Rantai emas yang halus dan panjang ini sering dipakai secara berlapis-lapis, memberi gambaran kedudukan tinggi seseorang wanita dalam masyarakat.
5. Rantai Papaen
Satu lagi rantai khas dalam busana ini, sering dipakai bersama Rantai Jiner. Gabungan kedua-duanya memberikan penampilan megah dan eksklusif.
6. Tali Pinggang Padieng Besar
Seperti kebanyakan pakaian tradisional Melayu, tali pinggang ini diperbuat daripada logam emas atau perak yang besar dan lebar, berfungsi bukan sahaja sebagai aksesori tetapi juga mengukuhkan siluet busana.
7. Serbang dan Mahkota Ikan
Serbang merupakan mahkota dahi yang digayakan bersama-sama mahkota sanggul lintang di tengah kepala. Hiasan kepala ini dipercayai telah wujud sejak sebelum kurun ke-17. Hal ini kerana Sarawak yang dahulu merupakan sebahagian daripada Brunei berada di bawah pengaruh kerajaan Majapahit. Hiasan ini menunjukkan status bangsawan atau kebesaran seseorang wanita, biasanya dipakai oleh pengantin perempuan atau wanita dari golongan elit. Namun, selepas abad ke-17, penggunaannya mula diperluaskan kepada masyarakat awam Melanau.
8. Nyunyah Duyung Emas
Salah satu daripada elemen hiasan sanggul kepala bersama sanggul lintang, nyunyah duyung emas dipercayai mendapat namanya daripada duyung emas, makhluk mitos yang membawa rezeki kepada kaum Melanau pada zaman animisme dahulu. Ia diperbuat daripada emas atau tembaga menggunakan tangan, dan dipakai sebagai simbol kemewahan serta kehalusan seni kraf tangan Melanau.
9. Gegatar dan Karang Tembusa
Gegatar dan Karang Tembusa pula merupakan elemen hiasan sanggul yang diletakkan di bahagian belakang kepala pemakai. Gegatar berbentuk segi empat dan berwarna keemasan dan diletakkan di bawah hiasan bunga mawar manakala karang tembusa pula hiasan beralun lebar yang dicucuk di bawah gegatar. Kedua-dua hiasan ini menyerlahkan lagi aura elit si pemakai selain memberi gambaran status mewah dan kemegahan wanita Melanau.
10. Selempang Merah
Sama seperti selempang dalam budaya lain, Selempang Merah ini memberi penegasan kepada kedudukan sosial seseorang wanita, biasanya disarung memanjang dari bahu ke bahagian pinggang.
11. Kepih Dada
Hiasan dada yang dibuat daripada logam atau emas ini sering mempunyai ukiran unik, melambangkan kisah kegembiraan dan keindahan seni pertukangan emas dan tembaga Melanau.
12. Gelang Aluk (5, 7 atau 9 utas mengikut pangkat)
Bilangan gelang emas yang dipakai melambangkan pangkat atau kedudukan wanita dalam hierarki masyarakat. Semakin tinggi pangkatnya, semakin banyak gelang yang dikenakan.
13. Sarung Songket Bidaek Lugik
Sarung songket ini diperbuat daripada tenunan khas yang dikenali sebagai Bidaek Lugik, yang dihasilkan dengan teknik tenunan tradisional menggunakan benang emas atau perak untuk mencipta corak geometri yang rumit. Motif yang terdapat pada songket ini sering kali menggambarkan unsur alam seperti ombak dan flora, melambangkan hubungan erat masyarakat Melanau dengan persekitaran mereka. Selain menjadi sebahagian daripada busana tradisional, sarung songket ini juga dipakai dalam upacara rasmi dan perkahwinan sebagai simbol kemewahan dan keturunan bangsawan.
Lebih Daripada Sekadar Busana
Setiap elemen dalam pakaian tradisional wanita Melanau ini bukan sahaja menyerlahkan identiti dan keindahan seni warisan, tetapi juga menjadi lambang keagungan budaya dan cerita cara hidup masyarakat Melanau yang perlu dipelihara.

Jadi, lain kali jika anda melihat seseorang memakai busana tradisional ini, ingatlah bahawa ia bukan sekadar pakaian, tetapi sebuah kisah yang diwarisi turun-temurun.
Adakah anda pernah melihat atau mencuba pakaian tradisional ini? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen!
Lagi tentang budaya Melanau yang anda mesti baca

