“Ini Piala Dunia Terakhir Saya, Akan Tinggalkan Sukan Ini Dengan Tenang”- Ronaldo

FootballSports
6 Jul 2026 • 3:05 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Cristiano Ronaldo mengesahkan bahawa Piala Dunia 2026 akan menjadi penampilan terakhirnya di pentas paling berprestij bola sepak dunia itu, ketika kapten Portugal itu bersiap sedia untuk aksi pusingan 16 terbaik menentang Sepanyol.

Pada usia 41 tahun, Ronaldo telah merekodkan enam penampilan Piala Dunia, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman, selain menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi berbeza kejohanan tersebut.

Bercakap pada sidang media menjelang perlawanan, bintang Al-Nassr itu berkata beliau mahu menikmati setiap detik berbaki dalam karier Piala Dunianya.

“Saya mahu menikmatinya sebanyak mungkin. Ini akan menjadi Piala Dunia terakhir saya, tetapi saya berharap esok bukanlah perlawanan terakhir saya,” katanya.

Image from: “Ini Piala Dunia Terakhir Saya, Akan Tinggalkan Sukan Ini Dengan Tenang”- Ronaldo

Ronaldo turut mengakui bahawa detik untuk menamatkan karier antarabangsa pasti akan tiba, namun menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang penyesalan.

“Saya akan meninggalkan sukan ini dengan hati yang tenang. Bukan 100 peratus, tetapi 1,000 peratus kerana saya telah memberikan segala-galanya kepada bola sepak. Saya tidak memerlukannya untuk hidup,” ujarnya.

Beliau menambah, beliau bermain kerana minat dan cinta terhadap sukan tersebut.

“Saya mempunyai kehidupan yang baik, tetapi saya bermain kerana minat. Saya bermain bola sepak kerana saya mencintainya,” katanya.

Mengulas prestasi semasa, Ronaldo berkata beliau berpuas hati dengan sumbangannya dalam kejohanan kali ini selepas menjaringkan tiga gol setakat ini.

“Saya sudah menjaringkan tiga gol dalam kejohanan ini, jadi saya rasa saya tidaklah beraksi terlalu buruk,” katanya.

Ronaldo turut menyifatkan Piala Dunia kali ini sebagai antara yang paling istimewa sepanjang kariernya, terutama dari segi sokongan dan emosi yang dirasai.

“Ia sangat hebat. Pengalaman ini melangkaui apa yang berlaku di atas padang. Ini adalah Piala Dunia yang akan paling saya ingati kerana semangat dan sokongan orang ramai,” jelasnya.

Pemenang Euro 2016 itu turut menegaskan beliau tidak memerlukan kejuaraan Piala Dunia untuk melengkapkan legasi kariernya.

“Saya tidak kekurangan apa-apa dalam hidup. Saya tidak akan menjadi lebih atau kurang Cristiano hanya kerana menang atau tidak memenangi Piala Dunia,” katanya.

Image from: “Ini Piala Dunia Terakhir Saya, Akan Tinggalkan Sukan Ini Dengan Tenang”- Ronaldo

Dalam masa sama, Ronaldo turut menzahirkan penghargaan terhadap kritikan yang diterimanya sepanjang karier, yang disifatkannya sebagai pemangkin untuk terus berkembang.

“Saya bersyukur walaupun terhadap serangan dan kritikan yang saya terima. Itulah cara terbaik untuk berkembang sebagai seorang insan,” katanya.

Artikel lain: Cristiano Ronaldo Turut Berpuasa, Rasai Sendiri Pengalaman Umat Islam

Mengulas mengenai bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, Ronaldo menyifatkan pemain itu memiliki masa depan yang cerah, namun menegaskan kekuatan Sepanyol terletak pada pasukan secara keseluruhan.

“Dia pemain yang mempunyai masa depan besar. Tetapi bagi saya, kekuatan Sepanyol bukan terletak pada seorang pemain sahaja,”ujar beliau.

Image from: “Ini Piala Dunia Terakhir Saya, Akan Tinggalkan Sukan Ini Dengan Tenang”- Ronaldo

Ronaldo menutup kenyataannya dengan pesan mengenai ketahanan mental dalam dunia bola sepak moden, yang menurutnya datang daripada disiplin, sokongan dan kemampuan menapis kritikan.

“Jika mahu mempunyai karier yang panjang, anda perlu belajar menyesuaikan diri dan memberi tumpuan kepada kasih sayang serta sokongan peminat,” ujarnya lagi.

Sumber: The Guardian

The post “Ini Piala Dunia Terakhir Saya, Akan Tinggalkan Sukan Ini Dengan Tenang”- Ronaldo appeared first on Borak Daily.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved