
Ini Situasi Bagaimana Penutupan Selat Hormuz Boleh Jejaskan Bekalan Baja & Sektor Pertanian
Konflik yang sedang berlangsung antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel ketika ini sudah pun memberi kesan kepada banyak pihak.
Harga minyak yang meningkat mendadak misalnya telah meletakkan situasi di beberapa buah negara dalam keadaan genting.
Semuanya berpunca apabila Selat Hormuz yang menjadi laluan penghantaran kira-kira 20 peratus minyak dunia telah ditutup oleh Iran, yang mendakwa perairan tersebut tidak selamat dilalui sepanjang konflik berlangsung.
Baca juga:
Qatar Isytihar Atase Tentera, Keselamatan Iran Sebagai ‘Persona Non Grata’
Lama Sangkut, Rupanya Ini Misteri Jem Tanpa Sebab Di "Highway"
Walaupun minyak dan gas asli menjadi industri yang paling terjejas teruk dengan penutupan tersebut, namun ia bukanlah satu-satunya sektor yang terkesan ketika ini.
Baja dan sektor pertanian juga sedang berdepan dengan situasi melarat, yang hujungnya berisiko menyebabkan kos yang perlu dibayar kita semua sebagai pengguna untuk meletakkan makanan di atas meja meningkat mendadak.
Jadi, bagaimana Perang Iran - Amerika Syarikat/Israel dan penutupan Selat Hormuz ini telah menjejaskan industri baja dan sektor pertanian?
Rantau Teluk merupakan pihak-pihak berkepentingan dalam industri pengeluaran baja.
Beberapa negara pengeluar minyak di Timur Tengah, secara khusus, adalah pengeluar utama baja nitrogen.
Bukan setakat minyak, penutupan Selat Hormuz turut jejas industri baja & sektor pertanian
Penghasilan produk tersebut bergantung secara langsung kepada aktiviti pembakaran gas asli pada tekanan tinggi dengan kehadiran hidrogen untuk mensintesis amonia.
Sumber hidrogen tersebut biasanya berasal dari gas asli itu sendiri.
Betapa penting rantau tersebut sebagai pengeluar baja nitrogen telah menjadikan kira-kira satu pertiga perdagangan baja global menerusi jalan laut lazimnya perlu melalui Selat Hormuz.
Kusutnya tentang perkara ini, masalah sebenarnya tidak terhenti setakat itu sahaja.
Ia bukan soal baja-baja dari Timur Tengah tidak boleh dihantar ke pasaran eksport utama seperti Brazil, Sudan dan Sri Lanka semata-mata.
Tetapi pengeluar-pengeluar baja di rantau lain juga kini berdepan kekangan susulan kekurangan bekalan mentah utama untuk menghasilkan baja.
Disinilah dimana kesan tahap kedua akibat rantaian bekalan yang terjejas mula dirasai, khususnya bagi negara-negara yang bergantung kepada sumber dari Timur Tengah.
Akibat penghantaran gas asli dari Qatar yang terhenti, pengeluar-pengeluar baja di India, Bangladesh dan Pakistan terpaksa menutup operasi masing-masing.
Pilihan kedua jika mahu terus beroperasi, negara-negara ini mungkin terpaksa beralih ke pasaran lain untuk mendapatkan bekalan asli.
Harga lebih tinggi daripada pembekal alternatif
Tetapi apabila mengambil kira situasi semasa, pengeluar terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal alternatif.
Penanda aras harga urea yang digunakan secara meluas misalnya meningkat kira-kira 30 peratus pada bulan lepas.
Harga yang lebih mahal bermakna kos operasi akan meningkat, yang akhirnya akan diterjemahkan pada harga yang lebih tinggi yang perlu dibayar oleh pengguna akhir produk.
Bukan setakat nitrogen, perang ini juga menyebabkan bekalan satu lagi komponen nutrisi penting untuk pertanian, iaitu fosforus turut terjejas teruk.
Negara-negara Teluk merupakan pengeluar kira-kira 20 peratus baja fosforus dan suku bekalan sulfur global, yang kedua-duanya merupakan produk sampingan daripada aktiviti pengeluaran minyak dan gas.
Pengeluar baja memerlukan sulfur atau asid sulfurik untuk mengubah batuan fosfat kepada cecair supaya boleh diserap oleh tanaman.
Negara besar yang bermandiri
Sebagai rekod, hampir separuh bekalan baja dunia sebenarnya tidak dipasarkan di pasaran antarabangsa sama sekali.
Misalnya Amerika Syarikat, negara dengan sumber asli yang melimpah, menghasilkan sendiri kira-kira tiga perempat keperluan baja domestik. Manakala, China dilihat lebih mampan dan mandiri dalam pengeluaran sendiri.
Bagaimanapun, memandangkan baja sebenarnya adalah komoditi yang tetap didagangkan secara global, sebarang gangguan yang berlaku di satu-satu rantau boleh memberikan kesan kepada rantaian ekonomi global.
China, sebelum Perang Iran meletus lagi, sudah pun mengehadkan eksport baja ke negara lain bagi melindungi petani-petani tempatan.
Masalahnya, China memerlukan Brazil, negara yang sangat bergantung kepada bekalan baja dari Timur Tengah untuk sektor pertaniannya, seperti pengeluaran soya.
Soya pula adalah komoditi yang diimport oleh China dari Brazil yang merupakan sumber makanan utama untuk sektor ternakan babi di negara itu.
Seperti krisis baja yang berlaku pada 2022 akibat Perang Rusia-Ukraine, negara-negara miskin adalah pihak yang paling menderita dengan situasi ini.
Krisis baja 2022 yang berpunca gangguan terhadap bekalan pelbagai produk berkaitan daripada Rusia dan Belarus serta kenaikkan harga minya, menyebabkan harga makanan global meningkat mendadak.
Ketika itu, negara-negara seperti Ivory Coast, Kenya, Nigeria dan Afrika Selatan menanggung impak terbesar akibat bekalan baja terganggu.
Untuk krisis kali ini, nampaknya kesan yang hampir sama juga dijangka boleh berlaku atau mungkin sudah pun dirasai.
