
Kemelut di Timur Tengah menjadi semakin teruk tiga minggu lalu apabila Iran diserang oleh Amerika Syarikat dan Israel. Sebagai balasan ke atas kematian ribuan rakyat serta ketua negara, Iran menutup Selat Hormuz yang serta merta menyekat bekalan petroleum dan gas dari negara Timur Tengah. Impaknya serta merta dengan harga jualan minyak naik melampau.

Berikutan kenaikan harga minyak ini, Pos Malaysia akan melaksanakan surcaj bahan api baharu yang berkuat kuasa bermula hari ini 18 Mac 2026. Paling terkesan teruk ialah penghantaran antarabangsa yang dikenakan surcaj sebanyak 40% termasuk perkhidmatan Redly Ekspress, Redly Priority (EMS), Paket Kecil, Parcel Udara, Mel Udara Pukal Antarabangsa dan Flexipack International.
Untuk penghantaran domestik pula, tambahan sebanyak 15% lagi dikenakan ke atas surcaj domestik sedia ada melibatkan penghantaran antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak, Pos Laju Prabayar (Biru), dan perkhidmatan MyDistribution.
Pos Malaysia juga mengatakan bermula 27 Mac 2026, kadar surcaj ini akan dikemas kini pada setiap hari Jumaat di laman web rasmi Pos Malaysia dan akan diguna pakai untuk minggu yang seterusnya.
