Inisiatif bantuan seragam sekolah ringankan beban ibu bapa

LocalFamily & Parenting
10 Oct 2025 • 4:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAITAN: Program Bantuan Pakaian Seragam Murid Sekolah terus menjadi inisiatif penting Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan keluarga berpendapatan rendah terpelihara di samping menggalakkan penyertaan penuh murid dalam sistem pendidikan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata program tersebut telah diperkenalkan sejak tahun 1979 sebagai salah satu usaha murni kerajaan dalam membela kebajikan rakyat.

“Pada awal pelaksanaanya program ini dikendalikan oleh Yayasan Sabah sebelum diambil alih sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri pada tahun 1991 melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna yang kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Bantuan Pakaian Seragam Murid Sekolah di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Paitan pada Khamis.

Beliau menjelaskan bahawa tujuan utama bantuan berkenaan adalah bagi meringankan beban kewangan ibu bapa, memastikan murid mempunyai kelengkapan asas persekolahan serta menggalakkan mereka hadir ke sekolah tanpa rasa kekurangan.

“Dengan adanya pakaian seragam, kasut dan alat tulis murid-murid bukan sahaja lebih bersemangat untuk belajar tetapi dapat membina keyakinan diri dan disiplin,” katanya.

Menurut data semasa sebanyak 1,074 buah sekolah rendah di Sabah menerima manfaat daripada program terbabit dengan 227,660 murid menerima bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah manakala 227,104 murid menerima bantuan alat tulis.

Katanya di daerah Paitan sahaja terdapat 20 buah sekolah dengan 2,339 murid yang menerima bantuan berkenaan.

James menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus komited mengekalkan program kebajikan berkenaan kerana pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang bagi membina modal insan yang berkualiti.

“Kita mahu setiap anak di Sabah sama ada di bandar mahupun pedalaman menikmati peluang pendidikan yang sama demi masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar semua murid yang menerima bantuan itu menghargai peluang yang diberikan.

“Saya berharap murid-murid dapat memanfaatkan sepenuhnya kelengkapan yang disediakan. Belajar dengan tekun, menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru serta menjadi insan berguna kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan,” katanya.