
Inisiatif ReDI Luaskan Ekosistem Cashless Society di Seluruh Negara Khususnya Kawasan Luar Bandar
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan komitmen dalam memperkasakan sektor peruncitan tempatan melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan atau Retail Digitalisation Initiative (ReDI). Pelaksanaan ReDI bertujuan untuk memperkenalkan kaedah perniagaan berasaskan digital, khususnya penggunaan e-wallet dalam kalangan peniaga terutamanya di luar bandar.

Bagi menyokong usaha ini, KPDN telah menganjurkan Kembara ReDI Borneo 2025. Program Kembara selama 10 hari ini telah bermula pada 26 Jun 2025 dengan lokasi pertama di Sematan, Sarawak dan dijadualkan akan berakhir pada 5 Julai 2025 di Tawau, Sabah sebagai lokasi terakhir.

Penganjuran program Kembara ReDI Borneo 2025 ini merupakan satulangkah proaktif KPDN dalam usaha memberi pendedahan kepada peniaga luar bandar berhubung pengoperasian perniagaan berkonsepkan digital. Fokus utama adalah penggunaan kemudahan e-wallet dalam urusan transaksi pembelian dan mewujudkan ekosistem masyarakat tanpa tunai (cashless society) di seluruh negara khususnya kawasan luar bandar.

Inisiatif ReDI ini menawarkan pengurusan kewangan yang efisien, peluang perkembangan perniagaan, kepelbagaian pilihan pembayaran dan juga pengurusan inventori yang lebih berkesan yang boleh dimanfaatkan oleh para peniaga. Usaha ini dilaksanakan melalui sokongan dan kerjasama rakan strategik seperti Bank Negara Malaysia, PayNet dan syarikat penyedia e-wallet yang berdaftar seperti Touch&Go e-wallet, GrabPay, ShopeePay, MAE Maybank, Boost dan SPay Global.

Sejak dilancarkan pada 27 Ogos 2022 sehingga 31 Mei 2025, KPDN telah membantu 22,368 peniaga untuk mendaftar dengan e-wallet di seluruh negara. Jumlah ini adalah melebihi sasaran 100 peratus iaitu 15,000 peniaga berdaftar menjelang tahun 2025 seperti yang ditetapkan di bawah RMK-12.

Bermula 1 Januari sehingga 31 Mei 2025, jumlah peniaga berdaftar ReDI merekodkan jumlah keseluruhan seramai 3,229 peniaga di seluruh negara. Daripada jumlah ini, jumlah peniaga berdaftar bagi negeri Sabah adalah 1,120 dan 1,799 bagi negeri Sarawak. Setakat 5 hari Kembara ReDI Borneo 2025 ini dilaksanakan, jumlah peniaga berdaftar bagi negeri Sabah dan Sarawak adalah seramai 3,708 orang.
The post Inisiatif ReDI Luaskan Ekosistem Cashless Society di Seluruh Negara Khususnya Kawasan Luar Bandar appeared first on Siakap Keli.


