
SANDAKAN: Inisiatif pembinaan tamu desa di Sabah dan Sarawak diharap dapat diteruskan Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan masyarakat luar bandar khususnya usahawan kecil mempunyai premis perniagaan lebih selesa.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif itu yang mula dilaksanakan sejak 2024 dilihat memberi banyak manfaat kepada masyarakat kampung dan bukan sahaja sebagai lokasi jualan malah boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Kita berharap kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dapat meneruskan usaha berkenaan kerana Kerajaan Negeri melihat manfaat tamu desa ini termasuk membolehkan peniaga menjual tanpa perlu risau panas atau hujan dengan bumbung yang ada.
“Terdapat kira-kira 3,000 kampung di Sabah yang berada di bawah pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga kebanyakannya mempunyai tamu mingguan.
“Tamu desa di Sabah bukan hanya digunakan untuk jualan mingguan tetapi boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti lain seperti mesyuarat mingguan, sambutan perayaan, majlis perkahwinan serta program dan ceramah agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus meraikan premis Tamu Desa Ulu Dusun Sandakan sempena Program Usahawan Tempatan ‘Sabah First’ di Dewan Tamu Desa, Kampung Kitagas Batu 6, Ulu Dusun pada Jumaat.
Tambahnya premis terbabit juga boleh dijadikan lokasi untuk program seperti Jualan Rahmah Madani dan aktiviti agensi kerajaan termasuk agensi penyedia pembiayaan yang boleh membuat sesi libat urus serta kutipan atau urusan pembiayaan secara terus bersama usahawan.
Ewon turut berharap agar Kerajaan Persekutuan melihat keperluan pembinaan tamu desa sebagai satu kemudahan penting kepada masyarakat luar bandar.
Sementara itu Peter berkata tamu desa merupakan satu usaha yang baik dalam membantu meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk di kawasan Libaran.
Menurut beliau pihaknya bersama JKKK mengenal pasti potensi usahawan serta peniaga kecil termasuk mereka yang sebelum ini menjalankan perniagaan di tepi jalan.
Peter berharap sekurang-kurangnya tiga lagi tamu desa dapat diwujudkan di kawasan Libaran termasuk di Kampung Jaya Bakti bagi memberi lebih banyak ruang kepada usahawan kampung.


