
Kota Kinabalu: Tindakan selanjutnya berhubung surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkenaan kenyataannya mengenai inkues kematian Zara Qairina Mahathir sedang menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pegawai Pengendali Mohd Fairuz Johari memaklumkan kepada Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Selasa bahawa Shafie telah menyerahkan jawapan bertulis terhadap notis tunjuk sebab itu pada 29 September lalu.
“Kami telah menerima jawapan beliau (Shafie) dan ia kini sedang dalam pertimbangan Peguam Negara. Sebarang tindakan lanjut akan bergantung kepada arahan daripada Peguam Negara,” kata Mohd Fairuz.
Shafie diberikan surat tunjuk sebab terbabit pada 22 September daripada AGC berhubung kenyataan yang didakwa dibuatnya semasa satu majlis makan malam di Sandakan bulan lalu.
Rakaman video majlis tersebut yang tular di media sosial didakwa menunjukkan Shafie merujuk kepada kematian Zara sebagai “pembunuhan.”Kenyataan itu mencetuskan aduan daripada peguam yang mewakili remaja terlibat dalam inkues berkenaan, yang mendakwa kenyataan berkenaan boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap mahkamah.
Perintah tunjuk sebab itu dikeluarkan di bawah Kaedah 52 Peraturan 2(B) Kaedah-Kaedah Mahkamah.
Sekiranya penjelasan Shafie diterima oleh AGC, tiada permohonan lanjut untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah akan dibuat.

