Inkues Zara Qairina bersambung hari ini

Local
18 May 2026 • 8:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Inkues Zara Qairina bersambung hari ini
Inkues kematian Zara Qairina bersambung semula di Kota Kinabalu dengan saksi ke-70, juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer PDRM, memberi keterangan.

KOTA KINABALU - Inkues kematian Zara Qairina Mahathir bersambung semula pada Isnin dengan mendengar keterangan saksi ke-70, seorang juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Asisten Superintenden Mohd Zaidi Abu Hassan, 40, dipanggil untuk menyambung keterangannya yang bermula pada prosiding April lalu.

Dalam prosiding yang lalu, Mohd Zaidi memaklumkan kepada Mahkamah Koroner di sini, bahawa beliau menerima 15 telefon bimbit untuk dianalisis. 

Dalam sidang media sebelum ini, pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham, Noraidah Lamat memaklumkan bahawa enam saksi pakar akan dipanggil bagi prosiding yang dijadualkan bersambung pada bulan ini dan Jun depan.

Peguam, Datuk Rizwandean M Borhan berkata, keterangan saksi pakar akan dikemukakan selepas saksi ke-70 selesai memberi keterangan.

Menurutnya, seorang lagi saksi, pakar psikiatri forensik, Dr Chua Sze Hung dari Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu, turut akan dipanggil semula untuk melengkapkan soal jawab yang belum selesai.

Antara pakar lain yang akan memberi keterangan ialah Dr Linthini Gannetion serta Dr Tay Eue Kam bersama dua lagi ahli pasukannya iaitu Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Syuhaila Mat Isa, yang masing-masing mempunyai kepakaran dalam analisis tulisan tangan serta dokumen. 

Selain itu, pakar psikologi dan psikiatri termasuk Dr Noor Aishah Rosli dari Semenanjung Malaysia dan Dr Wong Haw Huo dari Kota Kinabalu turut akan dipanggil.

Pasukan peguam juga menjangkakan 10 hingga 11 saksi lagi akan dipanggil, termasuk ibu Zara Qairina, beberapa ahli keluarga dan seorang saksi kanak-kanak

Pasukan peguam turut dibarisi Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Inkues dikendalikan pasukan pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus, manakala Hakim Koroner ialah Amir Shah Amir Hassan.

Peguam bagi bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Peguam bagi pelajar A ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala peguam bagi empat lagi pelajar diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.

View Original Article