Rakaman audio Zara Qairina dan ibu dimainkan di mahkamah tulen - Juruanalisis

18 May 2026 • 5:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rakaman audio Zara Qairina dan ibu dimainkan di mahkamah tulen - Juruanalisis
Sebanyak tujuh rakaman audio yang dimainkan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner disahkan sebagai tulen.

KOTA KINABALU - Sebanyak tujuh rakaman audio yang dimainkan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin, disahkan sebagai tulen oleh Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintenden Mohd Zaidi Abu Hassan.

Pengesahan itu dibuat berdasarkan pengalaman beliau selepas mendengar kesemua rakaman audio yang diperdengarkan sepanjang prosiding berkenaan.

Semasa pemeriksaan saksi ke-70 itu, peguam, Shahlan Jufri, memaklumkan pihaknya ada menyerahkan set dokumen baharu berupa transkripsi audio serta sebuah pemacu kilat yang mengandungi keseluruhan 42 rakaman audio daripada WF11, iaitu telefon bimbit milik ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Bagaimanapun, menurut beliau, hanya beberapa rakaman dipilih untuk dimainkan pada prosiding kali ini untuk dikenal pasti saksi.

"Kami ada menyerahkan transkripsi audio, set dokumen baharu yang dikenal pasti sebagai transkripsi audio dan juga sebuah pendrive mengandungi 42 rakaman audio.

"Kami ingin memainkan rakaman audio tersebut, rakaman audio daripada WF11. Ada 42 rakaman audio semuanya. Bagaimanapun, untuk tujuan prosiding hari ini, kami akan pilih audio untuk dikenal pasti saksi ini," katanya.

Rakaman audio yang dimainkan merupakan perbualan antara Zara Qairina dengan ibunya, Noraidah.

Selepas kesemua rakaman diperdengarkan di mahkamah, Shahlan kemudian bertanyakan kepada saksi sama ada rakaman berkenaan boleh dikategorikan sebagai verbatim.

"Boleh," jawab Mohd Zaidi.

Shahlan kemudian meneruskan soalan sama ada, berdasarkan pengalaman beliau, rakaman perbualan yang baru didengar itu boleh dianggap sebagai rakaman asli atau tulen.

"Mengikut pengalaman saya, rakaman tersebut tulen," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi turut menjelaskan bahawa semasa menjalankan analisis terhadap telefon bimbit WF11, beliau hanya mengekstrak rakaman perbualan daripada aplikasi WhatsApp.

"Saya hanya mengekstrak rakaman perbualan daripada WhatsApp sahaja dan rakaman perbualan ini tidak dapat dikeluarkan daripada software analisis saya," katanya.

Ketika diminta menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata sistem analisis yang digunakan hanya dapat mengeluarkan fail audio daripada WhatsApp dan beberapa platform media sosial lain, namun tidak menemui rakaman suara panggilan berkenaan.

"Rakaman-rakaman suara panggilan ini saya tidak jumpa daripada hasil analisis saya," katanya.

Beliau turut mengakui rakaman audio panggilan tersebut tidak ditemui semasa proses pengekstrakan telefon bimbit berkenaan kerana analisis yang dijalankan terhad kepada audio WhatsApp dan audio daripada platform media sosial lain.

Sebelum itu, Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini.

Pasukan peguam yang mewakili Noraidah ialah Shahlan, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Inkues dikendalikan pasukan pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus, manakala Hakim Koroner ialah Amir Shah Amir Hassan.