Inkues Zara Qairina: Pemeriksa dokumen sahkan mustahil tiru tulisan tangan

LocalPolitics
8 Sep 2025 • 7:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Allahyarham Zara Qairina Mahathir

KOTA KINABALU - Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, berpendapat adalah mustahil untuk seseorang meniru tulisan tangan walaupun kebarangkalian itu boleh berlaku.

Dalam keterangannya di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin, Nurul Atiqah menjawab soalan Timbalan Ketua Pendakwaan yang juga pegawai pengendali, Dana Arabi Wazani.

Dana bertanya sama ada terdapat kemungkinan untuk meniru tulisan tangan dan meminta pandangan saksi bagi kes berkenaan.

“Untuk kes ini, saya berpendapat adalah mustahil untuk ditiru kerana dokumen-dokumen ini sangat banyak, melibatkan pelbagai topik dan ditulis dalam jangka masa yang panjang,” jelasnya kepada mahkamah.

Sementara itu, ketika disoal peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang remaja tertuduh, Nurul Atiqah mengesahkan beliau membaca semua dokumen termasuk catatan pada kulit buku yang diterimanya untuk tujuan perbandingan.

Beliau turut memaklumkan bahawa dokumen bertanda Y8 yang mempunyai kesan darah telah dihantar terlebih dahulu ke bahagian forensik asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum diserahkan kepadanya.

Dalam prosiding seterusnya, peguam Azhier Farhan Arisin yang mewakili empat lagi remaja tertuduh meminta saksi kedua itu mengesahkan pemeriksaan terhadap helaian kertas bertanda Y10 bertarikh Februari 2025 yang mengandungi catatan tulisan tangan.

Apabila dirujuk kepada helaian di bahagian belakang dokumen sama, Azhier bertanya mengenai perbezaan tulisan yang lebih nipis berbanding catatan pada muka surat hadapan, dan sama ada perbezaan itu menunjukkan kedua-dua catatan bukan ditulis penulis yang sama.

“Perbezaan ini tidak menunjukkan ia bukan ditulis penulis yang sama kerana ciri-ciri tulisan tangan pada kedua-dua muka surat adalah sama,” jawabnya.

Menjawab soalan lanjut mengenai spesimen tulisan tangan yang digunakan sebagai perbandingan, Nurul Atiqah berkata ia adalah atas nama Zara Qairina binti Mahathir.

Namun dalam soalan akhir, Azhier turut meminta saksi memberi pandangan mengenai buku yang ditanda W3 mengandungi spesimen tulisan tangan serta tulisan tangan orang lain kerana buku berkenaan dimiliki dua penama yang disebut dalam helaian pertama.

“Buku W3 ini mengandungi tulisan tangan penulis contoh dan tulisan tangan orang lain kerana dimiliki oleh dua penama,” jelasnya.

Prosiding yang berlangsung pada sesi petang di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan ditangguh dan disambung semula pada jam 9 pagi Selasa.

Sebelum itu, prosiding turut dihadiri pasukan peguam sebagai pihak berkepentingan dalam kes ini iaitu ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, yang diwakili Shahlan Jufri dan Rizwandean M Borhan, selain Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Turut hadir sebagai pihak berkepentingan ialah peguam mewakili bapa arwah, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, iaitu Sherzali Asli bersama dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Seorang daripada tertuduh kanak-kanak pula diwakili peguam Ram, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan manakala empat lagi tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Inkues sepanjang bulan ini dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad, bersama Dana, Mohd Fairuz Johari dan Dena Dacia Jane.

Lagi artikel berkaitan: