
KOTA KINABALU - Pasukan peguam yang mewakili ibu kepada Zara Qairina Mahathir akan membawa pemeriksa dokumen sendiri bagi mendapatkan pandangan kedua berhubung barang bukti tulisan tangan yang dikemukakan dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu di Mahkamah Koroner.
Peguam, Rizwandean M Borhan, berkata setakat ini belum ada keputusan bahawa tulisan pada helaian kertas atau buku berkenaan dibuat oleh mana-mana pihak yang dikenali atau oleh Allahyarhamah Zara Qairina sendiri.
“Ini baru hanya contoh atau spesimen, tetapi belum ditentukan siapa yang menulisnya.
"Kami juga, bagi pihak ibu Zara, telah melantik pakar tulisan tangan sendiri untuk memeriksa dokumen ini dan telah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner supaya pakar kami hadir menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen-dokumen tersebut.
“Jadi saya kira masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian mengenai kandungannya.
"Ya, kami dibenarkan. Kami akan membuat urusan bersama pihak agensi berkaitan mengenai tempat dan masa untuk pakar kami memeriksa dokumen tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding inkues di Mahkamah Koroner pada Isnin.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi mendapatkan pengesahan daripada pendapat kedua pakar sebagai usaha mencari kebenaran dalam inkues tersebut.
“Kerana kami mahu kepastian. Kami mahu mengesahkan. Kami mahu mengetahui kebenaran dalam inkues ini. Jadi mengapa tidak mendapatkan pakar lain untuk membuat pengesahan.
“Kami akan mengaturkan dengan pihak Jabatan Peguam Negara... namun ia juga bergantung kepada Jabatan Kimia kerana kami difahamkan Jabatan Kimia perlu hadir semasa pemeriksaan dijalankan.
"Selain itu, tempat yang sesuai juga perlu dipilih untuk pemeriksaan tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata, pemeriksaan oleh pakar tulisan tangan yang didatangkan dari Kuala Lumpur itu masih belum dijalankan memandangkan dokumen berkenaan baru sahaja diterima pasukannya.
“Setelah dokumen diterima, barulah pemeriksaan dapat dijalankan. Untuk berlaku adil, dokumen asal baru sahaja dibuka oleh saksi dari Jabatan Kimia.
“Sebab itu sebelum ini kami tidak dapat memeriksa dokumen asal. Sekarang apabila sudah diperoleh, kami boleh memanggil pakar untuk menjalankan pemeriksaan,” katanya.
Sebelum itu, Rizwandean bersama Shahlan Jufri, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser hadir bagi mewakili Noraidah Lamat sebagai pihak berkepentingan dalam kes tersebut.
Lagi artikel berkaitan:


