Inkues Zara Qairina: Pemeriksaan tulisan tangan terhad kerana bukti tidak dibawa ke makmal

23 Jun 2026 • 1:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Inkues Zara Qairina: Pemeriksaan tulisan tangan terhad kerana bukti tidak dibawa ke makmal
Pakar forensik dokumen memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa analisis kes Zara Qairina Mahathir adalah terhad kerana sebahagian bahan bukti tidak dihantar ke makmal, sekali gus mengekang pemeriksaan menyeluruh termasuk ujian ESDA.

KOTA KINABALU – Pakar pemeriksa tulisan tangan dan dokumen, Dr Linthini Gannetion mengakui bahawa tidak semua pemeriksaan makmal penuh dapat dijalankan kerana bukti dokumen berkaitan kes Zara Qairina Mahathir tidak dapat dibawa ke makmal untuk analisis yang lebih menyeluruh.

Dr Linthini, 34, berkata, bahawa pendapat yang diberikan adalah terhad kepada dokumen yang diserahkan kepadanya untuk pemeriksaan.

“Saya ingin menegaskan bahawa pendapat saya adalah terhad kepada dokumen yang diserahkan untuk pemeriksaan, kaedah yang dapat dijalankan, dan batasan saintifik yang dinyatakan dalam laporan saya.

“Pemeriksaan saya juga tertakluk kepada batasan bahawa tidak semua pemeriksaan makmal penuh dapat dijalankan kerana bahan bukti tidak dapat dibawa ke makmal untuk analisis yang lebih menyeluruh,” katanya ketika membaca kenyataan bertulisnya di Mahkamah Koroner di sini pada Selasa.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebahagian dokumen yang diperiksa menunjukkan ciri-ciri ketidakkonsistenan termasuk perbezaan jenis dakwat, penggunaan pen berbeza serta tulisan yang telah dipadamkan pada beberapa bahagian.

Katanya, terdapat juga keadaan di mana halaman dalam dokumen Y1 hingga Y15 menunjukkan corak penulisan tarikh yang tidak selaras dengan kebiasaan penulisan jurnal Allahyarham Zara Qairina berdasarkan sampel yang diperoleh.

Dr Linthini turut menjelaskan bahawa dokumen berkenaan disahkan berasal daripada sebuah buku rujukan “Love and Peace” yang didapati kehilangan sejumlah besar halaman, selain terdapat petunjuk bahawa mekanisme koyakan tidak berlaku secara seragam.

Bagaimanapun, beliau berkata analisis lebih mendalam menggunakan kaedah Electrostatic Detection Apparatus (ESDA) tidak dapat dijalankan kerana bahan bukti tidak dihantar ke makmal.

“Berdasarkan pemerhatian saya, unsur gangguan terhadap dokumen tidak boleh diketepikan secara muktamad,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved