
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui prosiding melibatkan kes kematian Zara Qairina Mahathir yang maut selepas ditemui parah dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Tun Datu Mustapha, Limauan, Kinarut, Sabah masih lagi berjalan.
Pakar Dedah Halaman Dalam Diari Yang Dikaitkan Dengan Allahyarham Zara Qairina Dikoyak
Hari ini (22 Jun), seorang pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan bertauliah, Dr Linthini Gannetion, mendedahkan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah bahawa ratusan halaman telah dikeluarkan dari sebuah diari yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina.
Jelas Linthini, dokumen yang ditandakan sebagai Y1 sehingga Y15 itu disahkan berasal daripada sebuah buku yang mempunyai kulit PVC hijau bertulis ‘Love and Peace’ dan dirujuk sebagai WK9 hanya mempunyai 106 halaman.
Sedangkan menurut Linthini yang merupakan saksi pendakwaan ke-74, hasil pemeriksaan mendapati sebuah buku ‘Love and Peace’ dari jenis sama mempunyai 208 halaman berbanding WK9 yang mempunyai 106 halaman bergaris.
“Ini menunjukkan sejumlah besar halaman sudah dikeluarkan daripada WK9 sebelum pemeriksaan dijalankan.
“Saya juga mendapati cara koyakan pada dokumen Y1 hingga Y15 adalah berbeza-beza dan tidak menunjukkan satu corak koyakan seragam.
“Terdapat juga petunjuk bahawa selain Y1 hingga Y15, halaman lain turut kelihatan sudah dikeluarkan,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Tulisan Pada Beberapa Halaman Tidak Sepadan Dengan Tulisan Halaman Sebelumnya
Terang Linthini, pemeriksaan terhadap WK9 juga bertujuan untuk menentukan sama ada terdapat tanda pengubahan atau gangguan tanpa kebenaran terhadap kandungan YK1 sehingga Y15.
“Berdasarkan pemerhatian saya, penanggalan halaman, perbezaan jenis dakwat pada bahagian tertentu, kewujudan tulisan yang dipadamkan dan perbezaan corak tarikh pada beberapa halaman menunjukkan unsur gangguan terhadap Y1 hingga Y15 tidak dapat diketepikan secara muktamad,” ujarnya.
Malah, pemeriksaan yang menggunakan pencahayaan serong itu turut menunjukkan corak lekukan tulisan pada beberapa halaman tidak sepadan dengan tulisan halaman sebelumnya.
“Ini menunjukkan kemungkinan halaman asal yang menghasilkan lekukan terbabit sudah dikeluarkan,” terangnya.
Jelas Linthini, kaedah pencahayaan serong hanyalah saringan awal dan pemeriksaan yang lebih tepat terhadap lukisan berlekuk adalah dengan menggunakan Alat Pengesan Elektrostatik (ESDA).
Namun, ESDA tidak dijalankan memandangkan bahan bukti tidak dapat dikeluar daripada makmal.
Allahyarham Zara Qairina Tak Tulis Tarikh Secara Konsisten – Pakar
Tambah Linthini lagi, hasil pemeriksaan berdasarkan tulisan berbentuk diari yang diketahui milik Allahyarham Zara Qairina menunjukkan mangsa lazimnya tidak menulis tarikh secara konsisten pada catatan diari.
“Namun, bagi set Y1 hingga Y15, hampir semua halaman mempunyai tarikh kecuali Y8B dan Y13B.
“Keadaan ini tidak selaras dengan tabiat penulisan diari Zara Qairina berdasarkan bahan yang tersedia,” katanya.
Pakar Dedah Penggunaan Pen Juga Berbeza, Dakwa Ada Butiran Ditambah
Malah, penggunaan pen berbeza turut dikesan pada beberapa bahagian termasuk Y10B yang menunjukkan beberapa butiran mungkin ditambah pada masa berlainan.
Terangnya, perkataan ‘hallenge’ dalam perkataan ‘challenge’ pada Y4B ditulis menggunakan pensil manakala selebihnya menggunakan pen.
Perkataan ‘tauddin’ dalam nama ‘Retauddin’ juga dipercayai telah ditambah kemudian menggunakan pen berbeza.
Ada Tulisan Turut Dipadamkan, ‘Jala imut’ Tidak Konsisten Dengan Tulisan Zara
Manakala bagi Y13A, Linthini menjelaskan terdapat tulisan yang dipadam termasuklah perkataan ‘Jala imut’ dan dua baris ayat yang menyebut nama ‘Alysha’.
“Frasa ‘Jala imut’ tidak konsisten dengan ciri tulisan tangan Zara Qairina dan menunjukkan ia ditulis individu lain,” terangnya.
Pakar Tidak Dapat Buat Kesimpulan Mengenai Penulis Sebenar, Tiada Sampel Tulisan Tangan Pada Tempoh Sama
Walaubagaimanapun, Linthini menjelaskan dia tidak dapat membuat kesimpulan tentang penulis sebenar bagi Y1A, Y1B, Y2A, Y2B, Y3A, Y3B, Y4A, Y4B, Y5A, Y5B, Y6A, Y6B, Y7A, Y7B, Y8A, Y9A, Y9B dan Y10A ekoran ketiadaan sampel tulisan tangan yang ditulis dalam tempoh sama.
Terangnya lagi, sebahagian tulisan tangan sedia ada adalah tulisan formal seperti buku latihan sekolah dan bukanlah tulisan tidak formal yang membentuk diari sekaligus mengehadkan keupayaan untuk membuat perbandingan yang lebih ideal.
Namun jelas Linthini, tulisan pada Y1A, Y1B, Y2A, Y2B, Y3A, Y3B, Y4A, Y4B, Y5A, Y5B, Y6A, Y6B, Y7A, Y7B, Y8A, Y9A, Y9B dan Y10A menunjukkan persamaan dengan tulisan tangan Allahyarham antara Februari 2025 sehingga pertengahan April 2025.
Linthini berpendapat tulisan pada halaman berkenaan ditulis oleh Allahyarham Zara Qairina.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Zara Qairina: Cara Kematian Konsisten Dengan Tindakan Bunuh Diri – Pakar Psikiatri
Baca Artikel Berkaitan: Zara Qairina Dituduh Mencuri, Pelajar Senior Panggil & Soal Sehari Sebelum Ditemui Tidak Sedarkan Diri – Saksi
Baca Artikel Berkaitan: Kes Zara Qairina: Peguam Wakili 5 Remaja Tak Dibenarkan Masuk Inkues





