Inkues Zara Qairina: Polis Sahkan Laporan Dr Jessie Hiu, Terima Ugutan Dari Netizen

LocalPolitics
6 Sep 2025 • 9:01 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis mengesahkan menerima laporan daripada pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, yang mendakwa menerima ugutan susulan keterangannya dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner.

image is not available

Terima ugutan susulan inkues Zara Qairina

Memetik laporan daripada Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda menyatakan menerima laporan daripada Dr Hiu susulan ugutan yang dimaklumkan Pengarah Hospital Queen Elizabeth.

“Kami menerima laporan daripada beliau semalam pada sebelah petang. Dalam laporan itu, Dr Hiu menyatakan bahawa beliau dimaklumkan mengenai ugutan berkenaan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth,” katanya.

image is not available

Beri keterangan berkaitan kecederaan Zara Qairina

Sebelum ini, Dr Hiu memberi keterangan bahawa adalah tidak mungkin Zara terjatuh atau ditolak, sebaliknya pelajar 13 tahun itu mungkin melompat atau berayun dari tempat tinggi sebelum mendarat pada kaki kirinya sehingga daya hentakan bergerak ke arah atas badan.

Namun, beliau menegaskan terpulang kepada mahkamah menentukan sama ada Zara bertindak melompat dengan kehendaknya sendiri.

image is not available

Kredit foto: NST

Keterangan itu mencetuskan kritikan hebat di media sosial apabila segelintir netizen mempersoalkan penemuan serta kelayakannya, malah ada yang melemparkan kata-kata kesat.

Susulan daripada itu, peguam, Hamid Ismail yang mewakili ibu Zara turut tampil mempertahankan Dr Hiu.


“Hormatilah Dr Jessie Hiu. Menghina dan memperlekehkan kepakarannya tidak memberi manfaat kepada sesiapa. Prosiding pemeriksaan terhadap beliau akan bersambung minggu depan,” katanya.

Untuk rekod, Dr Hiu, 58, berkhidmat di Hospital Queen Elizabeth sejak 1998, memiliki ijazah perubatan dari USM serta sarjana patologi dari Universiti Malaya.

Beliau juga ahli Malaysian Medical Association (MMA), Malaysian Society of Forensic Medicine and Science dan Indo-Pacific Association of Law, Medicine and Science, selain menyelia hingga 150 bedah siasat setahun serta memberi keterangan pakar di mahkamah.

Sumber: Harian Metro (Juwan Riduan)