Inkues Zara Qairina: Saksi dakwa Zara pernah cerita hampir dibunuh bapa kandungnya

LocalFamily & Parenting
5 Nov 2025 • 7:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ram (depan) bersama rakan pasukan peguam ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Rabu.

KOTA KINABALU - Saksi ke-38 mendakwa bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pernah menceritakan kepadanya bahawa pelajar Tingkatan Satu itu pernah hampir dibunuh oleh bapa kandungnya.

Perkara itu diberitahu oleh saksi yang juga kanak-kanak ke-29 dalam inkues kematian Zara Qairina menerusi keterangannya yang dilakukan secara 'in camera' di hadapan Hakim Koroner, Shah Amir Hassan di sini pada Rabu.

Peguam, Datuk Ram Singh berkata, saksi adalah pelajar Tingkatan Satu yang mengenali Zara Qairina sebagai rakan biasa di sekolah tersebut.

"Dalam keterangannya, Zara tidak pernah menjerit dan menangis sebelum ini. Zara pernah mengadu mengenai masalah keluarganya sendiri. Saksi pernah diberitahu oleh Zara bahawa ibu Zara pernah cerita kepadanya bahawa dia hampir dibunuh oleh bapa kandung sendiri semasa dia kecil.

"Saksi berkata, Zara tidak pernah mengadu kepadanya bahawa dia berasa takut, sedih atau ingin menyendiri. Zara tidak pernah mengadu tentang gangguan semasa di asrama seperti buli, tekanan belajar dan keletihan.

"Namun setiap kali saksi dan Zara bergerak turun ke bawah dari dorm di aras tiga, Zara selalu melihat ke bawah dan bercakap kepadanya 'kalau aku terjun apa perasaan kau'. Saksi juga perasan beberapa hari sebelum kejadian Zara cedera, Zara sering kelihatan termenung dan murung dan menyendiri," katanya kepada pemberita di sinI.

Menurut Ram lagi, dalam keterangan saksi bahawa pada 15 Julai lalu, dia tertanya-tanya mengapa Zara Qairina dipanggil dan ke mana dia pergi.

"Salah seorang rakan sebilik memberitahunya bahawa Zara berada di dorm lain kerana dituduh mencuri. Apabila mendengar perkara tersebut, saksi menyuarakan untuk memeriksa beg milik Zara kerana dia mengesyakinya.

"Tujuan saksi mengajak rakan-rakannya untuk memeriksa beg Zara hanyalah kerana ingin menolong pelajar tersebut untuk mencari kad banknya yang telah hilang dan selain itu juga ingin membantu seorang lagi pelajar yang juga kehilangan dompet serta kad pengenalan.

"Saksi mengesyaki Zara ketika itu kerana sebelum ini lebih kurang lima kali barang seperti lencara bendera dan botol air yang hilang di bilik asrama telah dijumpai di dalam almari Zara.

"Terdapat satu kes curi duit secara besar-besaran yang yang mana pelajar-pelajar yang tidak balik rumah di hujung minggu termasuk saksi sendiri dan Zara tidur beramai-ramai di dorm dan apabila bangun, ramai yang memberitahu bahawa mereka kehilangan duit.

"Apabila 'spot check' dilakukan oleh senior, wang yang dicuri dijumpai di dalam beg Zara. Namun, apabila disoal, Zara tidak mengaku mencuri," katanya.

Peguam turut berkata, dalam kejadian berasingan saksi mengatakan dia pernah berjalan bersama Zara Qairina di aras bawah bangunan asrama menghala ke mesin air dan ketika mengisi air, remaja itu memuji terdapat satu botol yang diletakkan di atas mesin tersebut sebagai comel.

"Saksi berkata, mereka berdua kemudiannya naik semula ke atas dorm dan tidak lama kemudian, Zara keluar bilik. Apabila Zara masuk semula ke dalam dorm, saksi melihat Zara membawa botol yang dipuji sebentar tadi masuk ke dalam dorm," katanya.

Ram berkata, sesi prosiding akan disambung semula esok dengan saksi yang sama memandangkan saksi belum selesai disoal dalam inkues tersebut.

Ram bersama rakan sepasukannya iaitu Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang daripada lima pelajar yang dituduh dalam kes berkaitan Zara Qairina dan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.