KOTA KINABALU - Saksi ke-70 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau telah menganalisis 15 telefon bimbit yang diterimanya berkaitan dalam kes pelajar tersebut.
Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer, Asistan Superintenden Mohd Zaidi Abu Hassan, 40, yang bertugas di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa dia telah menerima dua kali serahan barang kes untuk tujuan dianalisis iaitu pada tarikh yang berbeza iaitu pada 14 Ogos dan 19 Ogos 2025.
Katanya, barang kes itu diterimanya daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar melibatkan 15 telefon bimbit berserta kad sim.
"Bagi serahan pertama pada 14 Ogos 2025 sekitar jam 4 petang, saya menerima satu beg plastik lutsinar barang kes PDRM.
"Hasil pemeriksaan mendapati beg tersebut mengandungi beberapa unit telefon bimbit pelbagai jenama iaitu iPhone 11 Pro, Oppo A53, Vivo Y28S, Vivo Y19S, iPhone 14, Vivo Y20 (skrin hadapan retak), Samsung Galaxy Note 10+ (skrin hadapan retak), Vivo V2043, iPhone 12, Oppo A15 dan Oppo A42 serta beberapa kad Sim," katanya semasa membacakan pernyataan saksi yang disediakan di sini, pada Khamis.
Beliau kemudian memaklumkan diminta untuk pemeriksaan dibuat terhadap kesemua barang kes melibatkan 11 unit serta kad sim yang diterimanya.
"Pemeriksaan itu adalah untuk mendapatkan semua maklumat media sosial, visual, WhatsApp, verbaltim, gambar, gambar dipadamkan dari tempoh masa Februari 2025 sehingga terkini.
"Saya menjalankan analisis terhadap barang kes ini dengan menggunakan peralatan XRY untuk telefon bimbit. Sebelum analisis dibuat, saya telah memastikan barang kes yang diterima dalam keadaan baik," katanya.
Katanya, dia mula menganalisis barang kes dengan menggunakan komputer di pejabatnya yang mana beliau sahaja yang boleh mengaksesnya sebelumm membuat salinan ke dalam dua pemacu pen.
Sementara itu, saksi menyatakan bahawa beliau menerima satu beg plastik lutsinar barang kes PDRM pada 19 Ogos 2025 sekitar jam 12.20 tengah hari ketika sedang bertugas di pejabat, yang diserahkan oleh seorang anggota polis.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati beg tersebut mengandungi beberapa unit telefon bimbit iaitu Realme C75, Vivo V2043 (dengan skrin hadapan pecah), Oppo A3 dan Honor X8A berserta beberapa kad sim.
Saksi turut memaklumkan bahawa semua barang kes tersebut berada dalam keadaan baik serta disertakan bersama satu borang permohonan untuk pemeriksaan lanjut.
Sebelum itu, Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, ialah Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Peguam bagi bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim, ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Peguam bagi pelajar A ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala peguam bagi empat lagi pelajar diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.
Pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus manakala Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.





