KOTA KINABALU - Tiga telefon bimbit yang diterima juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat dianalisis kerana mengalami keretakan pada skrin.
Saksi ke-70 inkues kematian Zara Qairina Mahathir, Asisten Superintendan Mohd Zaidi Abu Hassan, 40, berkata, kerosakan fizikal pada peranti berkenaan menyebabkan proses analisis tidak dapat dijalankan.
"Telefon bimbit ini mengalami kerosakan pada skrin dan saya tidak dapat mengaksesnya," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Sofia S Sawayan semasa prosiding di Mahkama Koroner di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, Mohd Zaidi menjelaskan data dalam telefon berkenaan masih boleh diperoleh menggunakan kaedah lain.
"Skrin perlu dibaiki atau ditukar, jadi kita dapatlah akses data tersebut," katanya.
Beliau turut menegaskan data yang diperoleh daripada peranti asal adalah tepat dan tidak boleh dimanipulasi.
Sementara itu, Mohd Zaidi turut diminta menjelaskan kenapa data yang dianalisis perlu dimasukkan ke tiga peranti yang berbeza iaitu pemacu kilat dan cakera padat.
"Untuk 11 telefon bimbit, data terlalu besar jadi terpaksa disalin kepada dua unit pemacu kilat. Empat telefon bimbit saja 70 gb, jadi saya pecahkan untuk menampung 11 telefon bimbit.
"Untuk yang kedua, iaitu empat telefon bimbit tersebut saya rasa tidak terlalu besar, cukup memadai disalin dalam cakera padat," katanya.
Sebelum ini, saksi pada prosiding sesi pagi Khamis memaklumkan telah menerima 15 telefon bimbit berkaitan kes Zara Qairina untuk dianalisis.




