KOTA KINABALU - [KEMAS KINI] Sebanyak 10 dokumen melibatkan tangkap layar perbualan dan rakaman suara daripada aplikasi WhatsApp berkaitan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dipaparkan di Mahkamah Koroner di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, tiada sebarang pendedahan mengenai siapa pemilik telefon bimbit yang dianalisis oleh Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer, Asisten Superintenden Mohd Zaidi Abu Hassan sepanjang prosiding inkues kematian Zara Qairina itu.
Dalam prosiding tersebut, saksi yang bertugas di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan perkara itu ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Sofia S Sawayan berhubung fail yang dianalisis daripada telefon bimbit bertanda WF11.
Sebelum itu, saksi diminta menjelaskan kandungan dokumen pada muka surat 77 dalam folder WF11.
"Dokumen ini adalah hasil cetakan daripada analisis saya ke atas telefon bimbit WF11. Di sini saya tunjukkan kandungan tersebut dalam pemacu kilat Kingston berwarna hitam.
"Terdapat folder-folder chat WhatsApp, folder PDF dan PDF chat WhatsApp untuk WF11. Jadi di sinilah PDF hasil analisis telefon WF11," jelasnya kepada mahkamah.
Dalam prosiding sama, beliau turut diminta mengesahkan dokumen pada muka surat 77 yang dipaparkan di skrin komputer mahkamah.
Saksi kemudian diminta mengesahkan beberapa dokumen lain yang turut dipaparkan, masing-masing melibatkan muka surat 79, 122, 123, 124 dan 125.
Selain itu, Sofia turut meminta saksi mengesahkan dokumen pada muka surat 164 yang melibatkan rakaman suara serta muka surat 165 yang mengandungi teks dipaparkan di mahkamah.
"Teks (muka surat 165) ini dihantar oleh pemilik telefon bimbit WF11," katanya ketika ditanya sama ada teks tersebut dihantar atau diterima oleh telefon berkenaan.
Dalam prosiding sama, saksi sekali lagi diminta mengesahkan dokumen pada muka surat 308 dan 942 sama ada serupa seperti yang dipaparkan di mahkamah.
"Ini (dokumen muka surat 942) adalah yang dihantar oleh pemilik telefon WF11," jelasnya ketika ditanya sama ada teks itu dihantar atau diterima oleh pemilik telefon berkenaan.
Sofia kemudian turut merujuk saksi kepada bahagian teks bernombor tujuh dan lapan untuk dijelaskan sama ada mesej tersebut diterima atau dihantar oleh pemilik telefon itu.
"Yang ini dihantar," katanya.
Sebelum itu, inkues itu dijalankan selepas kejadian Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini.
Pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, ialah Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Peguam bagi bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Peguam bagi pelajar A ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala peguam bagi empat lagi pelajar diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.
Pasukan pegawai pengendali turut terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, dan Dacia Jane Romanus manakala Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.






