
PETALING JAYA – Inokom Corporation Sdn. Bhd. (Inokom), anak syarikat Sime Darby Berhad (Sime) mencatat satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran kemudahan pengecatan baharu, Paint Shop 3 (PS3) di Kulim, yang melibatkan pelaburan bernilai RM300 juta.
Dibina dan dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga kerja Malaysia, PS3 mencerminkan keyakinan Sime terhadap industri automotif serantau dan keupayaan tenaga kerja tempatan.
Berdasarkan operasi dua syif, kemudahan ini direka untuk menyokong pengeluaran sehingga 50,000 badan kenderaan bercat setahun pada kadar 15 unit sejam, selain mempunyai keupayaan mengecat komponen plastik.
Dengan penambahan PS3, jumlah kapasiti gabungan kemudahan pengecatan di Inokom kini meningkat kepada 100,000 badan kenderaan bercat setahun, menawarkan fleksibiliti untuk meningkatkan jumlah pengeluaran serta memenuhi keperluan masa depan.
Pengarah Urusan Perniagaan Pemasangan dan Strategik Sime Motors, kata Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, PS3 merupakan penambahbaikan penting kepada ekosistem pemasangan Inokom.
“Kemudahan ini meningkatkan kapasiti pengecatan, menambah fleksibiliti pengeluaran dan memperkukuh keupayaan kami untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang.
“Direka dengan automasi canggih, kesediaan penggunaan cat berasaskan air pada masa hadapan serta ciri-ciri kelestarian, PS3 membolehkan Inokom menyokong program kenderaan masa hadapan sambil mengekalkan standard tinggi dari segi kualiti, kecekapan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Inokom lancar kemudahan mengecat RM300 juta di Kulim appeared first on Kosmo Digital.

