
LOJI kuasa nuklear merupakan kaedah penjanaan tenaga yang menggunakan proses pembelahan atom (nuclear fission) untuk menghasilkan haba, sebelum ditukarkan kepada tenaga elektrik.
Ini secara tidak langsung menjadi antara sumber tenaga rendah karbon yang mampu membekalkan bekalan elektrik secara berterusan.
Selain pembangunan loji kuasa nuklear konvensional di daratan, Russia mencipta satu lagi pencapaian luar biasa dalam bidang tenaga apabila memperkenalkan Loji Kuasa Nuklear Terapung
Akademik Lomonosov (FNPP) pertama di dunia yang beroperasi secara komersial.
Berlabuh di Pelabuhan Pevek, wilayah Chukotka di Artik Russia sejak tahun 2020, kemudahan itu dibangunkan oleh syarikat tenaga nuklear milik kerajaan, Rosatom bagi membekalkan tenaga elektrik dan haba untuk kawasan Artik yang sukar dihubungkan dengan grid nasional.
Menurut Pengarah FNPP, Viktor Yelagin, projek tersebut dilihat sebagai penyelesaian inovatif untuk komuniti di kawasan Artik, pulau-pulau serta lokasi perlombongan yang memerlukan bekalan tenaga stabil sepanjang tahun.
“Apa yang menjadikan FNPP ini unik adalah keseluruhan loji kuasa ini dibina di atas sebuah kapal tanpa enjin (non-self-propelled barge) sepanjang kira-kira 144 meter dengan lebar 30 meter.
“Ia kemudiannya ditunda ke lokasi operasi dan diikat secara kekal pada jeti khas.
“Berbeza dengan kapal nuklear atau kapal pemecah ais, platform ini tidak belayar secara bebas, sebaliknya berfungsi sebagai stesen jana kuasa terapung yang disambungkan terus kepada rangkaian elektrik di daratan,” katanya kepada media di Russia.
Tambahnya, reka bentuk sedemikian membolehkan pembinaan dilakukan sepenuhnya di limbungan kapal sebelum dihantar ke lokasi, sekali gus mengurangkan keperluan pembinaan infrastruktur besar di kawasan terpencil.
Dari sudut teknologi, FNPP dilengkapi dengan dua reaktor nuklear KLT-40S, iaitu teknologi berasal daripada reaktor yang telah lama digunakan pada kapal pemecah ais nuklear Russia.
Setiap reaktor mampu menghasilkan kira-kira 35 megawatt (MW) tenaga elektrik, dengan jumlah kapasiti keseluruhan sekitar 70 MW, selain menghasilkan tenaga haba bagi sistem pemanasan bandar.
Penggunaan teknologi yang telah terbukti dalam industri maritim nuklear selama beberapa dekad itu telah memberi keyakinan terhadap tahap kebolehpercayaan sistem tersebut.
Selain membekalkan elektrik, loji terapung itu turut memainkan fungsi penting sebagai pembekal haba kepada penduduk di bandar Pevek ketika musim sejuk ekstrem.
Dalam keadaan normal, suhu boleh mencecah di bawah -40 darjah Celsius. Tenaga haba daripada reaktor itu digunakan untuk sistem pemanasan daerah bagi mengurangkan kebergantungan kepada arang batu dan diesel yang mahal.

Teknologi sama juga mempunyai potensi untuk digunakan bagi proses penyahgaraman air laut, sekali gus menjadikan FNPP sebagai penyelesaian pelbagai fungsi untuk komuniti pulau atau kawasan mengalami kekurangan sumber air bersih.
Ujar Yelagin, satu lagi inovasi penting ialah konsep Small Modular Reactor (SMR) yang menjadi asas kepada pembangunan loji itu.
Berbanding loji nuklear berskala besar, reaktor kecil seperti KLT-40S menawarkan kapasiti yang lebih sesuai untuk kawasan berpenduduk rendah, selain lebih mudah dipasang dan diselenggara.
Malah, Rosatom kini sedang membangunkan generasi baharu loji terapung menggunakan reaktor RITM-200M yang lebih padat yang mampu menghasilkan kuasa lebih tinggi berbanding model sedia ada.
Teknologi baharu itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan kos pembinaan pada masa hadapan. Dari perspektif keselamatan, reka bentuk FNPP turut menggabungkan pelbagai lapisan perlindungan.
“Platform tersebut direka untuk menahan cuaca ekstrem, ombak besar, ais Artik serta aktiviti seismik.
“Berbeza dengan kapal yang sentiasa bergerak, loji ini kekal berlabuh di pelabuhan khas tanpa sistem pendorong sendiri, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan berkaitan pelayaran.
“Bahan api nuklear terpakai juga tidak disimpan secara kekal di lokasi operasi, sebaliknya akan dibawa pulang ke Russia untuk diproses dan dilupuskan mengikut piawaian industri nuklear negara,” kongsinya.
Menurut kenyataan daripada syarikat Rosatom, teknologi itu dibangunkan berasaskan pengalaman lebih 400 tahun dalam operasi kapal pemecah ais nuklear Russia.
“Akademik Lomonosov menampilkan sistem keselamatan dan sekuriti yang paling canggih dan dijangka menjadi salah satu pemasangan nuklear paling selamat di dunia.
“Pada masa sama, ia memberi keyakinan bahawa teknologi nuklear terapung mampu menjadi alternatif yang selamat bagi kawasan sukar dibangunkan menggunakan loji kuasa konvensional,” jelasnya.
Pada masa sama, pemerintah Russia melihat projek itu sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan ekonomi Artik.
Menurut Rosatom lagi, loji tersebut diwujudkan bagi memastikan bekalan tenaga kepada komuniti dan industri di Chukotka, selain menggantikan loji jana kuasa arang batu Chaunsk serta loji nuklear Bilibino yang semakin uzur.
Pendekatan itu dijangka mengurangkan pelepasan kira-kira 50,000 tan karbon dioksida setahun, sekali gus menyokong agenda penyahkarbonan di utara Russia.
Walaupun begitu, projek itu tidak terlepas daripada kritikan. Beberapa pertubuhan alam sekitar antarabangsa sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai risiko keselamatan sekiranya berlaku kemalangan atau bencana alam di laut.
Namun, Rosatom menegaskan, reka bentuk loji terapung tersebut dibangunkan dengan sistem keselamatan pasif dan aktif yang memenuhi piawaian industri nuklear moden serta berasaskan teknologi yang telah digunakan selama puluhan tahun dalam armada kapal pemecah ais nuklear Russia.
“Konsep loji kuasa nuklear tidak lagi terhad kepada pembinaan di daratan. Dengan menggabungkan kejuruteraan marin, teknologi reaktor modular kecil dan sistem keselamatan moden, model baharu penjanaan tenaga ini mampu beroperasi di kawasan paling mencabar di dunia.
“Sekiranya teknologi ini terus dipertingkatkan, loji kuasa nuklear terapung berpotensi menjadi penyelesaian tenaga bagi pulau-pulau terpencil, kawasan perlombongan, operasi industri luar pesisir serta negara yang memerlukan bekalan elektrik stabil tanpa membina loji nuklear berskala besar di daratan,” ujarnya.
The post Inovasi loji nuklear terapung untuk bekalan tenaga kawasan Artik appeared first on Kosmo Digital.





