SHAH ALAM, 10 OKT: Keputusan sama ada program Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang dilaksana Kerajaan Negeri diteruskan atau tidak hanya diketahui Ogos tahun depan.
Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng Sang menjelaskan polisi pemegang insurans masih berjalan meskipun pendaftaran bagi skim berkenaan tamat pada 3 Ogos lalu.
“Program masih berjalan. Dalam tempoh ini, Kerajaan Negeri berpeluang mengkaji sama ada teruskan atau hentikan atau membuat penambahbaikan.
“Semua tindakan ini dibuat berdasarkan laporan audit yang dibuat sejak awal tahun selepas timbul beberapa isu berhubung INSAN,” katanya dalam sidang media di sini.

Terdahulu beliau mempengerusikan sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bagi menilai keberkesanan program INSAN.
Saksi terlibat iaitu mantan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar.
Sementara itu, Weng San memuji jawapan diberikan ketiga-tiga saksi yang disifatkan jujur, profesional serta telus dan mudah difahami ahli jawatankuasa terlibat.
Jelasnya, sesi pendengaran awam itu mungkin disambung jika terdapat keperluan lain termasuk memanggil saksi baharu untuk kupasan lebih mendalam terhadap isu dibangkitkan.
“Ini tujuan pendengaran awam. Kita mahu jawapan lebih mendalam terhadap isu dibangkitkan. Penyata akan dibentang ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum (dibawa) ke sidang dewan,” katanya.
The post INSAN: Terus atau hentikan, keputusan diketahui Ogos tahun depan appeared first on Selangorkini.
