Oleh Norrasyidah Arshad dan Suhaila Shahrul Annuar
SHAH ALAM, 10 OKT: Langkah Kerajaan Negeri menambah baik Skim Perlindungan Insurans Am (INSAN) konvensional kepada konsep takaful menguntungkan rakyat dari aspek nilai pampasan.
Mantan ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata sekiranya pemegang polisi takaful meninggal dunia, waris menerima sumbangan RM11,000 berbanding RM10,000 untuk pencarum konvensional.
Jelas Norita Mohd Sidek, perlindungan patuh syariah itu juga menawarkan perlindungan lebih RM20,000 apabila terlibat kemalangan di luar negara selain tuntutan RM50 sehari jika dimasukkan ke hospital.

“INSAN atau INSAN Takaful merupakan program yang sama. Bukan Islam juga boleh daftar bawah takaful. Skimnya sama cuma nama berlainan malah INSAN Takaful lebih baik.
“Saya lihat program INSAN ini berjaya kerana ia bertujuan memberi perlindungan insurans kepada semua rakyat,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ketika sesi pendengaran awam berhubung INSAN dan hala tuju masa hadapannya di sini hari ini.
Terdahulu anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang juga ketua pembangkang negeri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meminta penjelasan berhubung tindakan pentadbiran mengubah skim berkenaan.

Mula diperkenalkan sejak 1 Oktober 2022, INSAN melindungi semua penduduk negeri ini berusia antara 30 hari hingga 80 tahun dengan premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor.
Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.
Pada Ogos tahun lalu, skim berkenaan ditambah baik dengan elemen patuh syariah untuk memastikan masyarakat beragama Islam tidak ragu-ragu mendaftar.
Menerusinya, individu menerima perlindungan RM11,000 untuk kematian, kematian di luar negara (RM21,000), hilang upaya kekal (RM10,000) dan elaun RM50 sehari bagi kemasukan wad hingga 30 hari.

The post Pampasan lebih tinggi menerusi skim insurans negeri patuh syariah appeared first on Selangorkini.
