
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menilai semula pendekatan pemberian insentif pemasangan tempatan (CKD) bagi industri automotif susulan defisit perdagangan komponen yang meningkat kepada RM33.8 bilion tahun lalu berbanding kira-kira RM13 bilion pada 2020.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan insentif yang dilaksanakan sejak 30 hingga 40 tahun lalu perlu diperbaiki kerana gagal memberikan impak diharapkan, khususnya dalam membangunkan pengeluar komponen tempatan.
Beliau berkata, kelemahan utama pendekatan terdahulu ialah pemantauan pelaksanaan CKD yang kurang berkesan sehingga membolehkan sesetengah pengeluar memilih untuk mengimport komponen berbanding membangunkan pengeluaran sendiri di negara ini.
Katanya, struktur CKD sebelum ini yang dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu Tahap 1, Tahap 2 dan Tahap 3 turut membuka ruang kepada pengeluar memperoleh pengiktirafan kandungan tempatan melalui gabungan komponen yang masih bergantung kepada import.
Sehubungan itu, kerajaan mahu memperkenalkan pendekatan insentif lebih bersasar dengan memberikan ganjaran lebih tinggi kepada syarikat yang benar-benar mengeluarkan komponen di Malaysia.
“Kalau yang Tahap 3 tidak, Tahap 2 tidak, tetapi Tahap 1 benar-benar melakukannya, kita akan beri ganjaran kepada Tahap 1. Mereka mungkin mendapat lebih banyak insentif kerana usaha itu benar-benar berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis pemulaan operasi CKD BYD di Malaysia, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid; Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma dan Pengarah Urusan Sime Motors Southeast Asia, Jeffrey Gan.
Johari berkata, pendekatan baharu itu juga bertujuan menarik lebih banyak pengeluar automotif antarabangsa membawa masuk teknologi serta bekerjasama dengan syarikat tempatan dalam penghasilan komponen.
Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya terlalu menumpukan sasaran peratusan kandungan tempatan yang tinggi sekiranya angka berkenaan tidak menggambarkan aktiviti pengeluaran sebenar di dalam negara.
“Sebaliknya, kandungan tempatan sebenar sebanyak 10 peratus lebih bermakna berbanding pengisytiharan 60 hingga 70 peratus yang tidak mencerminkan tahap pengeluaran sebenar.
“Kerjasama antara pengeluar automotif antarabangsa dengan syarikat tempatan juga berpotensi membolehkan pengeluar komponen domestik berkembang menjadi pengeksport serantau, khususnya ke pasaran ASEAN,” katanya.
Beliau berkata, BYD yang mempunyai teknologi serta keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berpotensi menjadi rakan kerjasama kepada pemain tempatan dalam meningkatkan keupayaan industri komponen.
Dalam perkembangan lain, Johari menjelaskan kenderaan BYD yang dipasang secara tempatan tidak tertakluk kepada had jualan 10,000 unit seperti yang dibangkitkan.
Katanya, tiada had jualan dikenakan terhadap kenderaan CKD dan jumlah jualannya bergantung kepada permintaan pembeli.
Beliau turut menjelaskan insentif bagi kenderaan elektrik (EV) yang dipasang secara tempatan akan tamat tahun depan, sebelum kenderaan berkenaan tertakluk kepada pendekatan insentif biasa seperti kenderaan lain.
Mengulas pembangunan industri automotif tempatan, Johari berkata, PROTON dan PERODUA kini menghasilkan gabungan kira-kira 450,000 kenderaan serta membangunkan rantaian bekalan yang membabitkan 703 syarikat pengeluar komponen.
“Industri itu turut mencapai kandungan tempatan sehingga 60 hingga 70 peratus serta menyediakan kira-kira 700,000 peluang pekerjaan, justeru ekosistem sedia ada perlu terus diperkukuh menerusi kerjasama dengan pengeluar antarabangsa,” katanya. – UTUSAN
The post Insentif CKD dinilai semula susulan defisit komponen automotif RM33.8 bilion appeared first on Utusan Malaysia.






