Kerajaan sedang menyiasat dakwaan Malaysia dijadikan hab pemindahan dan eksport semula cip kecerdasan buatan (AI) keluaran Amerika Syarikat (AS) yang tertakluk kepada sekatan eksport negara itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat pengendali atau penyewa pusat data di negara ini yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan setakat ini belum menerima sebarang dokumen rasmi yang membuktikan cip pemproses grafik (GPU) berkenaan diperdagangkan atau dieksport semula kepada pihak lain.
Beliau berkata, semakan akan dilakukan bersama Jabatan Kastam, termasuk meneliti rekod penghantaran, senarai muatan dan dokumen pengisytiharan bagi mengenal pasti pihak yang mungkin terbabit.
“Jika mereka melakukan eksport semula, kami mahu mengetahui siapa pihak terbabit dan mereka perlu mengemukakan senarai muatan yang diserahkan. Hanya selepas itu tindakan lanjut boleh diambil. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tuduhan,” katanya di Shenzhen, China, baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata Malaysia sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa AS mengenai sekatan baharu eksport cip AI, khususnya berkaitan keperluan pelesenan dan penyediaan perkhidmatan pusat data kepada pihak ketiga.
Katanya, kerajaan sudah berhubung dengan Kedutaan AS serta wakil perdagangan negara itu bagi mendapatkan maklumat rasmi mengenai skop peraturan berkenaan dan implikasinya terhadap pengendali pusat data di Malaysia.
Menurutnya, sebanyak 117 projek pusat data yang sudah diluluskan akan dimaklumkan mengenai keperluan pematuhan sebaik sahaja kerajaan menerima penjelasan rasmi daripada Washington. Sebahagian daripada projek berkenaan sudah beroperasi, manakala selebihnya masih dalam pembinaan.
Johari berkata, pengendali yang mahu mendapatkan GPU keluaran AS perlu mematuhi peraturan eksport negara itu, termasuk syarat pelesenan dan prosedur usaha wajar terhadap pembeli.
“Jika anda mahukan cip GPU dari AS untuk pusat data, anda perlu mematuhi peraturan negara itu. Sesiapa yang bersedia mematuhinya, maka patuhilah peraturan berkenaan sebelum boleh membeli cip tersebut,” katanya.

Foto arkib: Malay Mail
Beliau berkata, Malaysia bukan pengeluar cip berkenaan, sebaliknya menyediakan kemudahan infrastruktur bagi operasi pusat data.
Justeru, katanya, pengendali yang menggunakan teknologi GPU dari AS perlu memastikan penggunaan cip berkenaan mematuhi ketetapan negara pengeluar.
Johari turut menjelaskan sekatan terbaharu AS bukan sahaja melibatkan eksport semula fizikal cip, malah merangkumi penyediaan perkhidmatan pusat data serta penggunaan kapasiti pengkomputeran untuk pihak ketiga.
Katanya, kerajaan masih belum menerima garis panduan rasmi mengenai aspek berkenaan dan sedang mendapatkan penjelasan bagi memahami mekanisme pemantauan serta pelaksanaannya.
Beliau berkata, AS sebagai pengeluar cip perlu menjalankan pemeriksaan sewajarnya terhadap pembeli dan memaklumkan kepada Malaysia mengenai syarikat yang berhasrat membawa masuk GPU ke negara ini untuk operasi pusat data.
Langkah itu membolehkan pihak berkuasa tempatan memantau penggunaan teknologi berkenaan dan mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan.
Johari berkata, Malaysia kekal komited memastikan semua syarikat yang beroperasi di negara ini mematuhi undang-undang, termasuk peraturan negara lain berkaitan perlindungan harta intelek dan teknologi strategik.
Katanya, Malaysia tetap mengalu-alukan pelaburan pusat data, namun pengendali perlu mematuhi peraturan penggunaan cip sekiranya mahu meneruskan operasi di negara ini.
Beliau berkata, sekatan baharu AS itu tidak semestinya menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, tetapi boleh memberi implikasi kepada pengendali yang gagal memenuhi syarat ditetapkan, terutama dalam mendapatkan pelanggan.
Pentadbiran Presiden Donald Trump pada Isnin memperkenalkan peraturan baharu yang memperketat eksport cip AI berteknologi tinggi ke pusat data luar negara bagi mengurangkan risiko teknologi berkenaan disalurkan kepada syarikat China untuk melatih model AI mereka.
Peraturan itu turut mewajibkan syarikat di Singapura, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Brazil mendapatkan lesen eksport AS bagi memperoleh cip berteknologi paling canggih.





