
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (24 Mei), negara dikejutkan dengan tragedi tiga orang pekerja pelantar minyak yang maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terhempas ketika melakukan kerja penyelenggaraan di Kemudahan Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FSO) Sepat yang terletak di perairan Terengganu-Kelantan.
4 Mangsa Terlibat, 3 Maut Manakala Seorang Cedera Parah
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor, tiga mangsa yang maut adalah:
- Ahmad Fiqri Zakaria yang berusia 38 tahun dari Batu Berendam, Melaka
- Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam (28 tahun) dari Kuantan, Pahang
- Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid (38 tahun) dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.
Manakala, seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan yang berusia 37 tahun dan berasal dari Banting, Selangor cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Bagaimana Kejadian Berlaku?
Menurut Azli, dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada jam 12.50 tengah hari itu, keempat-empat mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi melakukan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform berkenaan.
“Kesemua mangsa ialah pekerja bahagian keselamatan pelantar, yang sedang membuat penyelenggaraan bot penyelamat.
“Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut, sebelum menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama bot berkenaan,” katanya.
3 Mangsa Disahkan Meninggal Dunia Di Hospital
Tambah Azli, pasukan penyelamat kemudiannya bertindak membawa kesemua mangsa naik semula ke platform sebelum diterbangkan menggunakan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) kira-kira jam 4 petang.
Kesemua mangsa kemudiannya tiba di LTSM pada jam 5 petang sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan, HSNZ.
“Bagaimanapun, tiga mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dipercayai akibat patah tulang,” jelasnya.
Petronas Sahkan Insiden Di FSO Sepat, Punca Kejadian Sedang Disiasat
Dalam pada itu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam satu kenyataan bertarikh 25 Mei mengesahkan insiden yang melibatkan empat orang pekerja kontraktornya itu.
Jelas Petronas, punca kejadian masih disiasat dan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
“Petronas merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat dan rakan sekerja mangsa yang meninggal dunia. Keutamaan segera syarikat ini adalah untuk memberi sokongan terhadap kebajikan mereka yang terjejas,” kata mereka.
Polis Sedang Jalankan Siasatan Terperinci, Mohon Orang Ramai Henti Buat Spekulasi
Pada masa yang sama, Azli menjelaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden terbabit dengan sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dihantar ke lokasi kejadian.
Malah, Azli turut meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi serta menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kejadian tersebut di media sosial.
“Setakat ini kes disiasat bawah laporan mati mengejut. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah, kes akan diklasifikan semula dan diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut,” katanya yang dipetik dari Free Malaysia Today.
Kerajaan Pandang Serius, Zahir Ucapan Takziah Buat Keluarga Mangsa
Insiden yang meragut tiga nyawa pekerja kontraktor itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, kerajaan memandang serius insiden ini dan siasatan menyeluruh oleh pihak berkaitan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Terang Anwar, kerajaan turut komited dalam memastikan aspek keselamatan pekerjaan diperkukuh bagi melindungi kebajikan serta keselamatan pekerja.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini dan moga mangsa yang sedang menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera,” kata beliau dalam satu hantaran di X.
Bukan hanya Anwar, malah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menyifatkan pemergian tiga individu terbabit sebagai satu kehilangan besar buat rakan sekerja, industri serta ahli keluarga mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Perancangan Petronas Bantu Kerajaan Sedia Bekalan Gas & Minyak Hingga Mei – PMX
Baca Artikel Berkaitan: Kerja Korek Tanah Di Putra Heights Ada Permit Dari MBSJ & Petronas, Patuhi SOP – Datuk Bandar Subang Jaya
