Insiden Bangunan Runtuh Di Pulau Perhentian, 4 Warga Asing Dikhuatiri Tertimbus

9 Nov 2023 • 12:42 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Hari ini, tular di media sosial video yang memaparkan sebuah bangunan di Pulau Perhentian, Terengganu runtuh dan menyebabkan pengunjung serta penduduk sekitar berada dalam keadaan cemas.

Menurut laporan Buletin TV3, difahamkan bangunan yang merupakan sebuah resort itu masih lagi dalam pembinaan dan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi tadi, pekerja binaan yang merupakan warga asing dikhuatiri tertimbus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Mohamad Jusoh, memberitahu maklumat awal mendapati empat mangsa dihantar ke Klinik Pulau Perhentian sebelum dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

“Empat mangsa lagi dipercayai masih tertimbus bawah runtuhan. Empat anggota bomba dihantar awal ke lokasi sementara tambahan anggota akan dihantar secara berperingkat menaiki bot,” katanya.

Difahamkan, pihak bomba telah memohon bantuan unit udara jabatan itu untuk memasuki Pulau Perhentian memandangkan laut bergelora ekoran peralihan monsun Timur Laut (MTL).

Selain itu, bantuan Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Bomba (STORM) juga telah dipohon bagi menjalankan operasi terbabit.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.