Insiden kecoh di KLIA: SPRM buru dalang minta RM18,000

4 Jul 2023 • 9:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat memburu individu yang dipercayai meminta 'duit kopi' RM18,000 berhubung kes kemasukan seorang pelancong China ke negara ini.

Menurut sumber, SPRM memandang serius isu rasuah yang dikatakan berlaku dalam satu insiden melibatkan seorang warganegara China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Sehubungan itu katanya, satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan SPRM bagi mengesahkan perkara tersebut.

Setakat ini kata sumber, tiga keterangan saksi termasuk seorang menteri yang terlibat dalam kejadian tersebut dan dua orang saksi utama warga China telah diambil percakapan.

"Beberapa orang pegawai imigresen yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perkara ini pada hari ini," katanya pada Selasa.

Berhubung insiden yang berlaku itu, menurut sumber, SPRM telah mengenal pasti seorang individu yang disyaki menjadi orang tengah dalam urusan 'menyelesaikan' permasalahan yang berlaku di KLIA itu.

Jelasnya, kes tersebut melibatkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Kami sedang giat mengesan individu yang merupakan ejen yang dikatakan telah meminta wang rasuah sebanyak RM18,000 bagi menyelesaikan kes terbabit," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau mengesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa bagi SPRM melengkapkan siasatan berhubung insiden tersebut.