
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius isu rasuah yang dikatakan berlaku dalam satu insiden melibatkan seorang warganegara China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Menurut sumber, satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan SPRM bagi mengesahkan perkara tersebut.
Setakat ini kata sumber, tiga keterangan saksi termasuk seorang menteri yang terlibat dalam kejadian tersebut dan dua orang saksi utama warga China telah diambil percakapan.
"Beberapa orang pegawai imigresen yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perkara ini pada hari ini," katanya pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA
Tambah sumber lagi, SPRM juga telah mengenal pasti seorang individu yang disyaki menjadi orang tengah dalam urusan 'menyelesaikan' kes melibatkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
"Kami sedang giat mengesan individu yang merupakan ejen yang dikatakan telah meminta wang rasuah sebanyak RM18,000 bagi menyelesaikan kes terbabit," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
Beliau mengesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa bagi SPRM melengkapkan siasatan berhubung insiden tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Siasat dalang sebar video, berita tidak benar - King Sing

