
KUALA LUMPUR 16 Dis – Operasi loji janakuasa Malakoff Corporation Berhad di Kompleks Tanjung Bin tidak terjejas susulan insiden kren jatuh di jeti berkenaan yang mengorbankan dua kakitangan kontraktor pada 13 Disember 2025.
Malakoff dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi di Loji Janakuasa Tanjung Bin terus berjalan seperti biasa dan keselamatan serta integriti operasi kekal sebagai keutamaan tertinggi kumpulan itu.
Malakoff mengesahkan dua kakitangan kontraktor terkorban dalam insiden tersebut, manakala tiga lagi mengalami kecederaan.
“Daripada jumlah itu, seorang telah dibenarkan keluar dari hospital, sementara dua lagi masih menerima rawatan perubatan dan keadaan mereka dipantau rapi.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan sokongan berterusan kepada semua pihak yang terjejas akibat kejadian berkenaan,” katanya.
Menurut Malakoff, siasatan dalaman sedang dijalankan secara aktif bagi mengenal pasti punca insiden.
Kumpulan itu juga memberi kerjasama penuh dan bekerja rapat dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta pihak berkuasa kawal selia lain yang berkaitan.
Malakoff menegaskan komitmennya terhadap ketelusan sepanjang proses siasatan dan akan memaklumkan perkembangan lanjut sekiranya terdapat sebarang perkara penting berkaitan insiden tersebut. - DagangNews.com



