Insiden Pertelingkahan, Arif Aiman Dan Tommy Mawat Digantung Tiga Perlawanan

LocalFootball
19 Nov 2024 • 1:41 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi dan pemain bola sepak Perak FC Tommy Mawat Bada digantung tiga perlawanan susulan pergaduhan di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada 10 November 2024.

Menerusi satu siaran media di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), keputusan itu diambil oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu.

Arif Aiman dan Tommy Mawat digantung tiga perlawanan – FAM

image is not available

Foto: Sinar Harian

Menurut Baljit, kedua-dua pemain itu telah melakukan kesalahan melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play.

Arif Aiman didapati bersalah menumbuk bahagian muka sebelah kiri Tommy Mawat, manakala pemain Perak FC itu pula bersalah menanduk kepala dan mencengkam leher sebelah kiri pemain JDT pada perlawanan tersebut.

image is not available

Susulan itu, Arif Aiman digantung tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kuala Lumpur pada 20 dan 30 November serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember 2024.

Manakala, Tommy Mawat turut digantung tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember 2024.

image is not available

Dalam pada itu, kedua-dua pemain itu telah diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan sekiranya mereka mengulangi kesalahan yang sama.

Bagaimanapun, Arif Aiman dan Tommy Mawat boleh membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Terdahulu, pergaduhan antaran Arif Aiman dan Tommy Mawat pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibraim menarik perhatian ramai khususnya atas tindakan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali yang sekadar melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain.

image is not available

Foto: Harian Metro

Majoriti penyokong bola sepak berpendapat Arif Aiman sepatutnya menerima kad merah kerana menumbuk pemain lawan di mana ia sememangnya kesalahan kad merah atas tindakan ganas berdasarkan peruntukan dalam Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB).

Malah, pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail turut menganggap Razlan sepatutnya melayangkan kad merah kepada Arif Aiman dan Tommy selepas didapati bergaduh pada perlawanan itu.

Sumber: Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)