Inspektor polis dan isteri maut, 6 cedera nahas dua kereta di Jalan Kuantan-Segamat

27 May 2026 • 11:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Inspektor polis dan isteri maut, 6 cedera nahas dua kereta di Jalan Kuantan-Segamat
Keadaan kereta Proton Wira dinaiki enam sekeluarga selepas terbabit nahas di Kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai Pekan pada Rabu.
Image from: Inspektor polis dan isteri maut, 6 cedera nahas dua kereta di Jalan Kuantan-Segamat
Pemandu dan penumpang Honda City dilaporkan cedera.

PEKAN - Inspektor  polis dan isteri maut manakala empat anak mereka cedera termasuk dua parah dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai di sini pada Rabu.

Kemalangan kira-kira jam 3 pagi itu turut mencederakan pasangan suami isteri yang berada dalam sebuah lagi kereta terlibat

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa, Syah Lokman Ludza  Ramli, 50 bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan isteri, Nurulfiza Ardiana Amba, 46  meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, dua anak pasangan itu, Muhammad Adib, 18 dan Muhammad Akif, 10 parah manakala dua lagi, Muhammad Aqil,13 serta Nur Arissa Safiya, 15 cedera ringan.

"Pemandu sebuah lagi kereta,Muhammad  Syafiq  Ali Ahmad, 26 dan  isterinya, Nur Aqilah  Musa, 26 yang mengandung lima bulan dilaporkan cedera,"katanya.

Mohd Zaidi berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Honda City dipandu Muhammad  Syafiq  yang bekerja sebagai jurukimpal di Singapura dipercayai dalam  perjalanan  dari arah Gelang Patah, Johor menghala ke Terengganu.

**media[3533681]**

"Mangsa yang memandu kereta jenis  Proton Wira bersama isteri dan empat anak pula dipercayai  dari arah Kuantan menghala ke Jempol, Negeri Sembilan. 

"Ketika tiba  di lokasi kejadian, kereta dipandu inspektor  polis itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk  ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Honda City," katanya.

Beliau berkata, akibat dari kemalangan tersebut, mangsa dan isteri  mengalami kecederaan  parah dan  disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa yang cedera  dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan.

"Kemalangan meragut dua nyawa itu kini  disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.