Inspektor Rempuh Anggota Polis Trafik Diperintah Jalani Pemeriksaan Mental

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 3:24 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Inspektor Rempuh Anggota Polis Trafik Diperintah Jalani Pemeriksaan Mental

Inspektor Rempuh Anggota Polis Trafik Diperintah Jalani Pemeriksaan Mental

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang terlibat dalam insiden merempuh anggota polis trafik dan beberapa kenderaan lain untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjong Rambutan, Perak.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid memutuskan demikian selepas peguam G. Nanda Goban mewakili Muhammad Kamal Raj Shanmugam Abdullah, 41, memaklumkan anak guamnya menghidap skizofrenia.

“Arahan daripada keluarga tertuduh agar jangan mohon ikat jamin. Mengikut semakan, rekod cuti sakit terakhir anak guam pada Februari tahun ini dan sehingga tarikh itu, dia berada dalam keadaan terkawal kerana menjalani rawatan susulan dan mengambil ubat, namun telah berhenti selepas Februari.

“Sebelum kejadian ini, bapa tertuduh pernah membuat laporan polis agar lelaki itu dibawa ke hospital, tetapi gagal kerana dia melarikan diri. Mohon mahkamah memberikan perintah agar tertuduh boleh menjalani pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 (1) Kanun Tatacara Jenayah,” kata peguam itu.

Nanda berkata memandangkan anak guamnya mempunyai rekod kesihatan berkaitan mental, pemeriksaan itu diperlukan bagi memastikan Muhammad Kamal boleh menjawab pertuduhan di mahkamah.

Muhammad Kamal yang sebelum ini berkhidmat bersama Kontinjen Polis Kedah didakwa telah cuba membunuh dengan cara melanggar anggota polis trafik Konstabel Roslan Salleh, menggunakan kereta jenis Perodua Axia dan mengetahui perbuatan tersebut boleh mendatangkan kematian terhadap lelaki itu.

“Saya sakit sihir, saya tak ingatlah,” kata lelaki itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Sultan Yahya Petra, dekat sini pada 10.47 malam, 10 April lepas, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan, hendaklah dihukum penjara yang boleh sampai 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin, selain memaklumkan tiada keadaan khas yang mewajarkan jaminan dalam kes itu.

“Mangsa merupakan seorang penjawat awam, iaitu anggota polis trafik yang telah dirempuh dan beliau mengalami kecederaan serius. Kes ini juga mendapat perhatian awam dan saya memohon agar tiada jaminan diberikan serta mahkamah menetapkan tarikh sebutan,” katanya.

Baca juga: