KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang tular di media sosial berhubung kes langgar lari sehingga menyebabkan seorang anggota trafik cedera, didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini pada Khamis, masing-masing atas satu pertuduhan cubaan membunuh dan memandu secara berbahaya, minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Kamal Raj Abdullah, 40, selepas semua pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid dan Majistret, Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan.
Di Mahkamah Sesyen, lelaki itu didakwa cuba membunuh dengan cara melanggar anggota polis trafik, Konstabel Roslan Salleh menggunakan kereta jenis Perodua Axia, yang diketahui perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Sultan Yahya Petra di sini jam 10.47 malam pada 10 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan maka pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
"Saya sakit 'sihir', tak ingatlah," kata tertuduh yang memakai kemeja warna merah dan mengenakan pelitup muka.
Semasa prosiding, peguam, G Nanda Goban yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya menghidap 'skizofrenia'.
Sebelum kejadian beliau berkata, bapa tertuduh membuat laporan polis agar anak lelakinya itu dibawa ke hospital, namun gagal kerana dia melarikan diri.
Katanya, berdasarkan rekod cuti sakit terakhir, anak guam berada dalam keadaan terkawal kerana mengambil ubat, namun Muhammad Kamal Raj tidak lagi menjalani rawatan sejak Februari lalu sehingga mencetuskan kejadian itu berlaku.
Justeru beliau memohon mahkamah memberikan perintah agar tertuduh menjalani pemeriksaan mental di hospital mengikut Seksyen 342 (1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Anak guam mempunyai rekod kesihatan mental, jadi pemeriksaan itu diperlukan bagi memastikan dia boleh menjawab pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Banusha Jegathesan mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin kerana kesalahan tersebut termasuk dalam kes yang boleh dilepaskan sementara dengan jaminan.
“Mangsa merupakan seorang penjawat awam, iaitu anggota polis trafik yang telah dirempuh dan beliau mengalami kecederaan serius.
“Kes ini juga mendapat perhatian awam dan saya mohon tiada jaminan diberikan kepada tertuduh,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin dan mahkamah memerintahkan lelaki itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemeriksaan mental.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Bagi pertuduhan kedua di Mahkamah Majistret, Muhammad Kamal Raj didakwa memandu kenderaan sama secara melulu dan berbahaya terhadap seorang lelaki lain, di Jalan Loke Yew, di sini jam 4.10 petang pada 13 April.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000.
Ia termasuk hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.
Tg Syazwany Yasmyn mengeluarkan perintah serupa agar tertuduh dihantar ke hospital untuk pemeriksaan mental.
"Arahan sama terpakai kepada enam lagi kes yang sepatutnya dihadapi tertuduh dan tiada jaminan diberikan," katanya yang menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Selepas prosiding, Nanda berkata, anak guam dan keluarganya memohon maaf terhadap anggota polis yang cedera termasuk beberapa pemilik kenderaan yang terjejas akibat insiden rempuhan berkenaan.
"Kami mendoakan agar anggota tersebut pulih sepenuhnya," katanya.
Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan, pemandu kereta dipercayai terlibat dalam kejadian itu, merupakan seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor yang menghidap ‘skizofrenia’.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki itu kini sedang menjalani cuti perubatan khas dan dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan.
Katanya, suspek akhirnya berjaya diberkas selepas aksi mengejar dari Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin pada petang Isnin.






