Inspirasi ibu & Anas Zahrin, Ashhry Atan tak lokek belanja lebih 500 jururawat makan percuma, siap peruntuk RM10,000!

LocalHealth & Fitness
13 May 2026 • 6:00 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Inspirasi ibu & Anas Zahrin, Ashhry Atan tak lokek belanja lebih 500 jururawat makan percuma, siap peruntuk RM10,000!

SATU demi satu menu menyelerakan terhidang di atas meja, namun apa yang lebih mengujakan adalah melihat senyuman yang terukir pada wajah tetamu yang hadir. 

Suasana di Nongchik Riverside, Johor Bahru baru-baru ini bukan sekadar aktiviti makan-makan biasa, sebaliknya ia menjadi medan penghargaan buat insan-insan berbaju putih yang selama ini menabur bakti tanpa jemu. 

Bagi pemilik Restoran Ashhryshoshedap, Ashhry Atan, peluang menyantuni golongan jururawat merupakan satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Image from: Inspirasi ibu & Anas Zahrin, Ashhry Atan tak lokek belanja lebih 500 jururawat makan percuma, siap peruntuk RM10,000!

“Paling manis dan amat saya hargai ialah chef bertugas sudah siap siaga ‘berperang’ di dapur seawal jam enam pagi lagi. 

"Lebih membahagiakan apabila melihat senyuman lebar setiap jururawat yang hadir saat dan usai menikmati menu disediakan. 

"Apabila nampak mereka semua gembira sambil bersua muka walaupun tidak saling mengenali, ia beri satu kepuasan buat diri,” ujar adik kepada usahawan Anas Zahrin ini dengan nada teruja.

Bersempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026, Ashhry tidak kekok memperuntukkan lebih RM10,000 untuk menyediakan pelbagai hidangan secara percuma kepada lebih 500 jururawat dari seluruh Johor Bahru. 

Sebanyak 20 jenis menu masakan Melayu dan aneka manisan yang menjadi identiti restoran tersebut dihidangkan buat petugas dari pelbagai hospital termasuk Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail.

Image from: Inspirasi ibu & Anas Zahrin, Ashhry Atan tak lokek belanja lebih 500 jururawat makan percuma, siap peruntuk RM10,000!

Inspirasi murni ini sebenarnya datang daripada ibu tercinta, Hamida Dan serta galakan daripada abangnya sendiri yang sentiasa suka melihat orang lain gembira. 

Kata Ashhry, dia mahu menghargai golongan dedikasi ini yang selama ini berjuang di barisan hadapan. 

Malah, pertemuannya dengan jururawat yang sudah berkhidmat lebih dua dekad benar-benar menyentuh tangkai hatinya sehingga menimbulkan rasa sebak kerana ini merupakan kali pertama keraian seumpama itu dianjurkan di restorannya sendiri.

Menyentuh soal perkongsian aktiviti kebajikannya di media sosial, Ashhry menegaskan bahawa tiada sekelumit pun niat untuk menunjuk-nunjuk atau riak. 

Sebaliknya, dia percaya bahawa contoh yang baik boleh menjadi inspirasi kepada orang lain untuk turut sama membantu mereka yang memerlukan.

Image from: Inspirasi ibu & Anas Zahrin, Ashhry Atan tak lokek belanja lebih 500 jururawat makan percuma, siap peruntuk RM10,000!

Baginya, doa yang berpanjangan daripada orang ramai sudah memadai untuk melihat empayar perniagaannya terus berkembang maju di masa hadapan.

Restoran Ashhryshoshedap yang pernah dinobatkan sebagai Johor The Best Restaurant 2025 memang cukup terkenal dengan pelbagai hidangan yang menggegarkan deria rasa. 

Antara yang menjadi kegemaran ramai pastinya asam pedas ikan pari, daging salai masak lemak, serta menu unik 'kura kura mencintaimu'. Tidak ketinggalan, peminat pasta pasti akan jatuh cinta dengan creamy butter clam dan spaghetti salted egg yang cukup lemak berkrim.

Image from: Inspirasi ibu & Anas Zahrin, Ashhry Atan tak lokek belanja lebih 500 jururawat makan percuma, siap peruntuk RM10,000!

Berita gembira buat warga Johor, Ashhry turut berkongsi perancangan untuk membuka cawangan kedua restorannya di R&F Johor Bahru yang dijangka akan dilancarkan pada Jun depan. 

Jelas sekali, semangat untuk memberi dan berkongsi rezeki menjadi tunjang utama buat anak muda ini dalam memastikan setiap pelanggan yang datang bukan sahaja pulang dengan perut kenyang, malah dengan hati yang senang.