Insta360 Flow: Gimbal telefon pintar berkuasa AI

Digital
30 Mar 2023 • 10:08 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Jenama yang terkenal dengan kamera 360 kini mengembara ke satu segmen baharu. Insta360 Flow adalah sebuah gimbal telefon pintar yang katanya diperkasa AI untuk berikan fungsi penjejak subjek pada gimbal telefon tercanggih dalam pasaran.

Bermula dengan ciri-ciri asas, selain ciri autojejak, ia menstabilkan video anda pada 3 paksi, ada kayu selfie dan tripod terbina dalam satu pakej. Sungguhpun ada macam-macam komponen, jisimnya cuma seberat 369g dan boleh dilipat rapat untuk mudahkan penyimpanan.

image is not available

Motor penstabilnya mampu mengangkat telefon sehingga 300g. Untuk perspektif, iPhone 14 Pro Max mempunyai jisim 240g. Tapi kalau telefon itu dipasang pelindung skrin dan juga casing, beratnya mungkin akan melebihi had.

Ia memegang telefon menggunakan kuasa magnet, sama seperti DJI Osmo Mobile 6.

image is not available

Yang ingin diketengahkan Insta360 pada Flow adalah teknologi Deep Track 3.0 berasaskan AI. Katanya gimbal boleh menjejak subjek dengan berkesan tanpa gagal. Katanya algortima penjejaknya lebih jitu berbanding pesaing mereka dengan memetik ciri-ciri seperti "Person Re-Identification", "All-Angle Tracking", dan "Tracking Recovery".

image is not available

Menggunakan aplikasi kamera Insta360, pengguna boleh gunakan fungsi seperti Zoom Tracking, Slow Motion Tracking, Live Mode, Panorama, dan gambar keliling 360.

image is not available

Bateri yang terkandung pada Insta360 Flow adalah yang berkapasiti 2,900mAh dan katanya boleh berkhidmat selama 12 jam lamanya. Bateri yang sama juga boleh digunakan untuk mengecas telefon melalui port USB yang disediakan.

image is not available

Dalam pasaran A.S, Insta360 Flow dijual pada harga USD160 (RM708). Sebagai perbandingan, anda boleh dapatkan DJI Osmo Mobile 6 di Malaysia pada harga RM759.

Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.