Kamera kompak Insta360 X6 telah dilancarkan dengan ia mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding Insta360 X5. Ia dilengkapi dua sensor Sony 1/1.1″ yang adalah 33% lebih besar dan mampu menangkap empat kali ganda lebih banyak cahaya berbanding X5.

Ini dipadankan dengan cip pemproses lapan teras buatan Qualcomm yang tidak dinyatakan dan dua lagi cip khusus untuk pengimejan. Dari segi kuasa, ia adalah 500X lebih berkuasa berbanding cip digunakan generasi terdahulu. Dengan cip berkuasa, X6 boleh melakukan rakaman 360 8K50FPS, satu lensa 5K60FPS atau 4K120FPS gerak perlahan.
Sistem penstabilan yang digunakan membolehkan ia berfungsi seperti kamera gimbal. Terdapat ciri penjejakan kepala yang menyelarikan rakaman video dengan apa yang sedang dipandang dan ciri memadam kayu swafoto secara automatik.

Bateri 2600mAh memberikan tempoh rakaman video 8K sehingga 140 minit dengan storan terbina pula sebesar 64GB. Menerusi pengecasan pantas, bateri boleh dicas daripada 0% ke 100% dalam masa 35 minit menggunakan pengecas 30W.
Tubuh melepasi piawaian IP68 dengan ia boleh dibawa menyelam sehingga 20 meter. Dua lensa yang digunakan juga lebih tahan calar dan tahan lasak dengan ia boleh digantikan sekiranya mengalami kerosakan.

Sebuah skrin 2.32″ OLED disertakan untuk menukar tetapan kamera. Turut diberikan sokongan NFC, Bluetooth 5.3, Wi-Fi 6, dan USB 3.0.
Di Malaysia Insta360 X6 ditawarkan pada harga RM 2899 untuk Standard Bundle dan RM3,199 untuk Essential Bundle. Pembelian sebelum 30 Sept 2026 akan mendapat langganan setahun 500GB cloud dan 3 bulan Moments Pro percuma.


