Instagram kini semakin tegas dalam memastikan kandungan asli diberi keutamaan dan pencipta asal mendapat ganjaran serta pendedahan yang sewajarnya.

Aplikasi itu mengumumkan bahawa mereka tidak lagi akan mencadangkan gambar dan kemaskini carousel daripada akaun pengumpul kandungan atau profil yang hanya menumpukan pada muat naik semula. Dengan kemas kini algoritma terbaharu ini, perubahan besar dijangka memberi kesan ketara terhadap capaian kandungan dalam aplikasi.

Menurut Instagram, perlindungan yang sebelum ini hanya terpakai pada reels kini turut diperluas kepada kandungan berbentuk gambar dan carousel. Akaun yang hanya memuat naik semula kandungan orang lain tidak lagi layak untuk muncul dalam cadangan. Sebaliknya, fokus utama diberikan kepada pencipta asal kerana mereka berhak mendapat kredit dan pengedaran yang sewajarnya. Malah, kini sebanyak 75% cadangan di Amerika Syarikat datang daripada kandungan asli.

Definisi kandungan asli menurut Instagram merangkumi kandungan berbentuk gambar atau video yang diambil sendiri, kandungan yang direka serta disunting secara bermakna seperti menambah teks unik, grafik kreatif atau menggunakan fungsi Remix. Sebaliknya, kandungan dianggap tidak asli jika hanya dimuat naik semula dengan tambahan kecil seperti tera air (watermark) atau kredit di kapsyen.
Bagaimanapun, akaun dengan lesen rasmi atau kebenaran jelas daripada pencipta asal tidak akan terjejas, dan polisi ini juga berasingan daripada dasar harta intelek. Akaun yang terkesan masih boleh memulihkan kelayakan mereka sekiranya dalam tempoh 30 hari kandungan terbaharu dianggap asli dengan status boleh diperiksa melalui Account Status.

Instagram turut menekankan beberapa langkah praktikal untuk membantu pencipta mengekalkan kelayakan mereka. Antara tip yang digariskan termasuk menggunakan alat tambahan seperti Collabs, Remix atau label perkongsian berbayar, selain turut menggalakkan perkongsian kandungan pihak ketiga melalui Stories atau Repost bagi memastikan kredit asal diberikan. Pencipta juga digalakkan sentiasa menyemak Account Status untuk mengetahui kedudukan akaun mereka.



