Instagram Sedang Menguji Ciri ‘Early Access’ Untuk Kandungan Reels

TechnologyDigital
8 Dec 2025 • 2:11 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Instagram sedang menguji ciri baharu dinamakan sebagai Early Access yang membolehkan pengguna menyiarkan kandungan secara eksklusif kepada pengikut mereka dalam tempoh 24 jam pertama sebelum didedahkan kepada umum.

image is not available

Dalam paparan grid, mana-mana Reels yang berada dalam Early Access Mode akan ditandai dengan ikon bintang serta latar belakang kabur yang berlabel khas.

Seterusnya, apabila pengguna mengetik masuk, mereka akan menerima mesej yang menggalakkan mereka mengikuti akaun tersebut untuk menonton Reels berkenaan.

Selain itu, turut dipaparkan pemasa yang menunjukkan bila kandungan tersebut akan tersedia untuk semua pengguna di samping butang ‘Follow’ bagi memudahkan interaksi.

image is not available

Ia turut dianggap menarik kerana boleh memberi peluang kepada pengguna untuk menghargai pengikut mereka dengan akses awal sambil menggalakkan orang baharu untuk mengikuti akaun tersebut. Dengan menyekat Reels dalam tempoh 24 jam pertama semestinya dapat menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan pengikut.

Jika diperhatikan, ciri Early Access menyerupai fungsi ‘Bulletin Dashboard’ yang ditawarkan TikTok. Fungsi tersebut merupakan saluran baharu dalam aplikasi yang membolehkan pencipta kandungan berkongsi secara langsung dengan pengikut.

image is not available

Selain itu, ia juga boleh dilihat seakan sama dengan fungsi ‘Lockable Post’ yang pernah diperkenalkan Instagram sebelum ini. Namun begitu, perbezaannya ialah Lockable Post memerlukan kod rahsia khusus bagi membolehkan kenalan atau pengikut lain mengakses kandungan tersebut.

Buat masa ini, ciri Early Access masih berada dalam fasa pengujian yang melibatkan kumpulan pengguna berskala kecil. Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan bila Instagram akan melancarkannya secara terbuka kepada semua pengguna.