'Insya-ALLAH saya juga sedia bertemu Nik Abduh' - Nik Bahrum

Politics
6 Aug 2023 • 8:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Isnin lepas. Gambar kecil Nik Bahrum

KOTA BHARU - Calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah mengakui tiada masalah bertanding di kerusi yang pernah menjadi sebutan untuk bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata, fokusnya kini untuk berjuang membawa amanat parti dan bukan kerana individu tertentu.

Nik Bahrum juga memberitahu pernah bertemu ibu Nik Muhammad Abduh, Puan Sri Tuan Sabariah Tuan Ishak dan tiada sebarang masalah berkaitan ditimbulkan.

"Kami bertemu seperti satu keluarga. Insya-ALLAH saya juga sedia bertemu Nik Muhammad Abduh selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar harian Perikatan Nasional (PN) sempena pilihan raya negeri (PRN) di Pejabat Perhubungan Pas Kelantan pada Ahad.

Media ini sebelum ini melaporkan, terdapat desas-desus Nik Muhammad Abduh dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan di DUN Chempaka.

Sementara itu, Nik Bahrum yang merupakan calon muka baharu berkata, sepanjang berkempen, penduduk di DUN berkenaan memberi sokongan daripada pelbagai peringkat umur.

"Setakat ini tidak banyak permintaan melibatkan material tetapi penduduk di situ meminta kebersamaan dan semangat wakil rakyat untuk mendengar luahan mereka," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!