
Kerajaan akan menyegerakan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir terutamanya di Pantai Timur melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang baru sahaja selesai mengusulkan tentang Bajet Mini 2023 dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen pagi tadi berkata beliau akan ke Pantai Timur dalam kadar segera pada esok hari.
“InsyaAllah esok saya akan ke Pantai Timur untuk memantau situasi banjir di sana.
“Saya bercadang untuk segera ke sana untuk memantau dan membantu apa-apa yang dirasakan mendesak,” memetik kenyataannya di Twitter dan petikan video sidang Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata bantuan disegerakan kerana keadaan yang mendesak mutakhir ini ekoran hujan lebat yang berterusan di beberapa negeri khususnya di Pantai Timur.
“Tetapi oleh kerana keadaan yang mendesak seperti banjir yang juga telah mula meragut nyawa di negeri Pantai Timur dan juga beberapa keperluan segera, maka ada pertimbangan untuk menyegerakan (bantuan) dan memberikan penambahan tidak seperti belanjawan yang tertakluk pada bulan Mac.
“Tetapi penyesuaian dari kelulusannya ada supaya dapat diperkasakan oleh Nadma dan peruntukan tambahan khususnya di Terengganu dan di Kelantan,” ujarnya.
Terdahulu, beliau juga memaklumkan kerajaan yang diterajui olehnya bersetuju meneruskan beberapa bantuan dengan penambah baik daripada segi jumlah serta dipercepatkan tempoh pembayarannya.
Bantuan tersebut juga termasuk Bantuan Tunai Rakyat yang akan diteruskan dengan pembayaran Fasa 1 mula disalurkan pada Januari 2023 berbanding Mac sebelum ini.
Kerajaan juga akan meneruskan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid pada Januari ini, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, selain Bantuan Kebajikan Masyarakat kepada isi rumah miskin, warga emas dan OKU juga diteruskan.
Kerajaan akan menyegerakan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir terutamanya di pantai timur melalui agensi NADMA.
InshaAllah, esok saya akan ke pantai timur untuk memantau situasi banjir di sana. pic.twitter.com/dyYY66rMqK
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) December 20, 2022
Sumber: Anwar Ibrahim/Twitter
The post InsyaAllah, Esok Saya Akan Ke Pantai Timur Untuk Memantau Situasi Banjir Di Sana – PM appeared first on Siakap Keli.


