Inta Bina terima kontrak RM43.65 juta bangunkan perumahan Eco Majestic di Hulu Langat
diyana
08/09/2023 - 18:10
KUALA LUMPUR 8 Sept - Inta Bina Group Berhad telah menerima kontrak pembinaan bernilai RM43.65 juta melibatkan 162 rumah teres dua tingkat di Hulu Langat, Selangor.
Inta Bina dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, anak syarikatnya Inta Bina Sdn Bhd menerima surat anugerah (LOA) daripada Eco Majestic Development Sdn Bhd untuk kerja bangunan utama pada 8 September 2023.
Kontrak tersebut adalah untuk cadangan pembinaan dan penyiapan pembangunan skim perumahan komuniti berpagar dan berkawal (hakmilik strata) Precinct 9 Cheerywood Fasa 4.
Kumpulan itu berkata kontrak akan bermula pada 1 November 2023 bagi tempoh 20 bulan untuk menyiapkan rumah-rumah terbabit, sementara dua rumah contoh perlu siap dalam masa tujuh bulan dan pencawang TNB dalam enam bulan.
Tanpa sebarang keadaan tidak diduga, Inta Bina berkata kontrak dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa hadapan Inta Bina sepanjang tempoh kontrak.
Kumpulan bercadang untuk membiayai lontrak melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luar.
“Lembaga pengarah Inta Bina, selepas pertimbangan sewajarnya, berpendapat bahawa kontrak adalah demi kepentingan terbaik kumpulan.
“Penarafan lima bintang kami baru-baru ini dalam penilaian SHASSIC oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk dua projek kami yang sedang berjalan iaitu, projek Duduk Eco Sanctuary, serta Residences & Shoppes adalah bukti komitmen kami untuk mengekalkan kecemerlangan dalam piawaian kesihatan, keselamatan dan persekitaran (HSE) merentasi semua aspek operasi kami dalam semua projek yang dilaksanakan oleh kami,” katanya.
Saham Inta Bini ditutup rendah pada 26.5 sen, turun 0.5 sen atau 1.9% dengan permodalan pasarannya bernilai RM142 juta. - DagangNews.com


