Integrasi sistem caruman: Kenyataan GEM boleh cetus persepsi tidak tepat, kekeliruan pekerja gig

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 5:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Integrasi sistem caruman: Kenyataan GEM boleh cetus persepsi tidak tepat, kekeliruan pekerja gig
PENGHANTAR mendakwa kenyataan Masrizal berhubung pelaksanaan caruman automatik di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) boleh menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan persepsi tidak tepat.

SHAH ALAM - Kenyataan yang dikeluarkan oleh Masrizal Mahidin daripada Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) berhubung pelaksanaan caruman automatik di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) boleh menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan persepsi tidak tepat dalam kalangan komuniti pekerja gig.

Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) dalam satu kenyataan berkata, sebarang isu berkaitan pelaksanaan, termasuk integrasi sistem dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sepatutnya dibincangkan dan dibahaskan terlebih dahulu oleh Majlis Perundingan Gig (MPGIG).

Menurutnya, ini kerana MPGIG ditubuhkan sebagai platform tripartit yang menghimpunkan tiga pihak utama iaitu kerajaan (kementerian dan agensi berkaitan), wakil penyedia platform dan juga wakil pekerja gig dan persatuan.

"Masrizal Mahidin sendiri merupakan sebahagian daripada ahli platform tripartit itu. Selain itu, wakil PERKESO juga turut berada di dalam majlis ini.

"Struktur ini diwujudkan bagi memastikan setiap isu dibincangkan secara menyeluruh, seimbang dan berasaskan konsensus sebelum dibawa ke ruang awam," katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, Masrizal selaku ketua aktivis GEM memberitahu kelewatan sebahagian penyedia platform melaksanakan integrasi sistem caruman keselamatan sosial bukan lagi isu teknikal, sebaliknya kegagalan mematuhi undang-undang di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).

Katanya, hampir sebulan selepas penguatkuasaan akta berkenaan, pelaksanaan di lapangan masih belum menunjukkan tahap pematuhan yang menyeluruh dalam kalangan penyedia platform.

Tambah kenyataan itu, PENGHANTAR ingin mempersoalkan sama ada perkara yang dibangkitkan ini telah dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat MPGIG pada 3 April 2026 yang lalu atau tidak.

Jelasnya, ini kerana semua pihak berkepentingan termasuk PERKESO, penyedia platform serta wakil komuniti berada dalam satu mesyuarat yang sama.

"Sekiranya perkara seperti ini masih timbul di luar platform rasmi, ia secara langsung menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan dan fungsi sebenar MPGIG sebagai platform penyelarasan dasar industri gig.

"Kami berpandangan bahawa kekuatan MPGIG terletak pada prinsip perbincangan dalaman, kesepakatan bersama dan komunikasi yang konsisten ke luar. Tanpa disiplin ini, fungsi majlis berisiko terjejas dan boleh mengelirukan komuniti yang diwakili.

"Komuniti pekerja gig tidak mahu terus disajikan dengan isu pertikaian dalaman. Apa yang lebih penting adalah penyelesaian yang jelas, konsisten dan memberi kesan langsung kepada kebajikan serta pendapatan mereka," ulasnya.