Akta Pekerja Gig 2025: Grab Malaysia perkenal mikro laman baharu sebagai pusat rujukan utama

LocalBusiness & Finance
31 Mar 2026 • 8:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Grab Malaysia perkenalkan laman sesawang ‘The Malaysia Gig Hub by Grab’ susulan pelaksanaan Akta 872

SHAH ALAM - Grab Malaysia memperkenalkan mikro laman sesawang dikenali ‘The Malaysia Gig Hub by Grab’ sebagai sumber maklumat baharu berhubung perkembangan terkini ekonomi gig negara.

Menurut kenyataan, inisiatif itu dilaksanakan susulan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang secara rasmi berkuat kuasa pada Selasa.

Tambah Grab Malaysia, pihaknya memberi tumpuan untuk memastikan proses peralihan berjalan lancar bukan sahaja kepada rakan pemandu dan penghantar, malah menjaga kepentingan pengguna perkhidmatan.

"Platform ini bertujuan membantu rakan-rakan memahami landskap peraturan yang semakin berkembang.

"Ia juga melengkapi saluran komunikasi sedia ada, di samping menyediakan maklumat yang jelas dan mudah diakses agar rakan kongsi dapat memahami hak serta tanggungjawab mereka di bawah akta tersebut," katanya pada Selasa.

Pada masa sama, Grab Malaysia turun menyarankan rakan kongsi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai akta berkenaan supaya merujuk laman web rasmi Kementerian Sumber Manusia.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan memaklumkan lebih 1.64 juta individu yang terlibat dalam ekonomi gig di negara ini menerima pelbagai manfaat susulan pelaksanaan Akta 872.

Perkara itu meliputi perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian perkhidmatan, larangan diskriminasi, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, jaminan keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas menerusi Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan Tribunal Pekerja Gig.