
HARI Integriti Nasional telah diisytiharkan pada 5 November 2005 sebagai sebahagian daripada usaha membudayakan integriti, memupuk nilai-nilai murni sejagat serta memperkukuh tadbir urus dalam kalangan masyarakat.
Pada tahun 2026, sambutan ini membawa kita kepada satu tema yang sederhana pada susunan katanya, tetapi besar pada maknanya, iaitu “Integriti Kita, Nilai Kita.”
Dua perkataan yang penting dalam tema ini ialah kita dan nilai.
“Kita” menegaskan bahawa integriti bukan tanggungjawab satu institusi, satu agensi, satu sektor atau satu kelompok sahaja. Ia adalah tanggungjawab bersama.
“Nilai” pula mengajak kita melihat integriti lebih jauh daripada sekadar pematuhan kepada peraturan. Ia menyentuh prinsip yang kita pegang, pilihan yang kita buat dan tindakan yang kita ambil walaupun tiada siapa yang melihat.
Nilai yang kita pegang akan membentuk siapa kita, manakala nilai yang menjadi pegangan rakyat akan membentuk wajah sesebuah negara.
2026
Pada 13 Jun 2026, Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) dilancarkan untuk memperkukuh inisiatif pembudayaan integriti dalam segenap lapisan masyarakat secara lebih menyeluruh, progresif dan sistematik.
NIES merupakan kesinambungan kepada Pelan Integriti Nasional (PIN) dan menggunakan pendekatan whole-of-nation, dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dan pemegang taruh.
Kita tidak lagi boleh melihat integriti sebagai tanggungjawab satu institusi atau mengharapkan satu agensi untuk membina masyarakat berintegriti.
Kita juga tidak boleh meletakkan tanggungjawab itu hanya kepada sektor awam. Integriti perlu menjadi ekosistem.
Ia perlu dibina di rumah, diperkukuh di sekolah, diamalkan di tempat kerja, disuburkan dalam komuniti, diterapkan dalam dunia perniagaan dan seterusnya disokong oleh sistem serta institusi negara.
Inilah semangat whole-of-nation bahawa pembudayaan integriti memerlukan penyertaan seluruh negara.
Menanam Nilai
Pada 27 Ogos 2026, Modul Integriti Kanak-kanak (MIKa) dilancarkan di Tabika Perpaduan Taman Bukit Cheras dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
MIKa dibangunkan untuk menerapkan nilai integriti secara sistematik serta membina karakter positif sejak usia awal.
Pendekatan ini membawa satu mesej yang besar: Kita tidak seharusnya menunggu seseorang menjadi dewasa, memegang jawatan atau mengurus wang dan kuasa sebelum kita bercakap tentang integriti.
Integriti perlu dibentuk sebelum semua itu. Seorang kanak-kanak perlu belajar bahawa berkata benar mempunyai nilai. Memulangkan sesuatu yang bukan miliknya ialah integriti.Mengakui kesalahan lebih mulia daripada mencari alasan.
Amanah tetap amanah walaupun tiada siapa melihat.
Apa yang ditanam sebagai nilai ketika kecil berpotensi menjadi prinsip apabila dewasa. Akar yang baik akan menentukan bagaimana pohon membesar.
Pembangunan Negara
Tahun 2026 juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026-2030.
Dalam kerangka pembangunan ini, tatakelola baik, integriti dan akauntabiliti merupakan antara perkara yang diberi perhatian, termasuk pengukuhan mekanisme semak dan imbang, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pemantauan prestasi.
Hubungannya dengan pembangunan ekonomi sebenarnya mudah difahami.
Apabila integriti kukuh, proses dapat dilaksanakan dengan lebih telus dan akauntabiliti dapat diperkasakan. Apabila tatakelola bertambah baik, urusan menjadi lebih jelas dan penyampaian perkhidmatan dapat dipertingkatkan.
Apabila keyakinan meningkat, ruang untuk kerjasama, pelaburan dan pembangunan yang lebih mampan turut diperkukuh. Maka, integriti bukan sesuatu yang berada di luar agenda pembangunan.
Integriti ialah sebahagian daripada asas yang membolehkan pembangunan itu berlangsung dengan lebih berkesan dan berdaya tahan.
Indeks Persepsi
Hubungan antara integriti dan pembangunan juga dapat dilihat melalui petunjuk antarabangsa.
Antara ukuran yang sering digunakan untuk menilai persepsi terhadap rasuah sektor awam ialah Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diterbitkan oleh Transparency International.
CPI 2025 meliputi 182 negara dan wilayah, dengan skor daripada 0, yang menunjukkan tahap persepsi rasuah yang tinggi, hingga 100, yang menunjukkan persepsi rasuah yang rendah.
Dalam CPI 2025, Malaysia mencatatkan 52 mata dan berada di kedudukan ke-54 daripada 182 negara, meningkat dua mata berbanding tahun sebelumnya.
Angka ini tidak boleh dibaca sebagai ukuran tunggal terhadap keseluruhan kemajuan sesebuah negara.
Namun, ia memberi satu isyarat penting: Integriti, tadbir urus, akauntabiliti dan kepercayaan institusi mempunyai kaitan yang rapat dengan bagaimana sesebuah negara dilihat dan diyakini oleh masyarakat antarabangsa.
Justeru, usaha memperkukuh integriti bukan hanya penting untuk memenuhi tuntutan moral atau pentadbiran.
Ia turut berkait dengan keupayaan negara membina keyakinan, menarik pelaburan, mengurus sumber secara bertanggungjawab dan mengekalkan daya saing.
Nilai Kita
Kita tidak boleh menyerahkan seluruh tanggungjawab integriti kepada kerajaan dan institusi. Integriti negara tidak hanya ditentukan oleh undang-undang dan sistem.
Ia juga ditentukan oleh jutaan pilihan kecil yang dibuat oleh rakyat setiap hari. Seorang penjawat awam memilih untuk memberikan perkhidmatan dengan jujur.
Seorang pemimpin memilih untuk mendahulukan amanah berbanding kepentingan diri. Seorang usahawan memilih untuk mematuhi peraturan walaupun ada ruang untuk mengambil jalan mudah.
Seorang rakyat memilih untuk menyemak sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya. Semua pilihan ini kelihatan kecil.
Namun, negara sebenarnya dibentuk oleh jutaan tindakan kecil seperti ini.
Jika kita tertanya-tanya apakah nilai Malaysia, jawapannya tidak hanya terletak pada apa yang tertulis dalam dokumen rasmi atau slogan yang dilaungkan.
Nilai negara kita juga tercermin melalui perilaku rakyatnya. Jika rakyat menghargai amanah, negara akan dikenali melalui amanah. Apabila rakyat menghargai kejujuran, negara akan dikenali melalui kejujuran.
Jika rakyat menghormati peraturan, negara akan dikenali melalui ketertiban dan sekiranya rakyat memilih untuk melakukan perkara yang benar walaupun sukar, negara akan membina reputasi yang berbeza di mata dunia. Itulah makna “Integriti Kita, Nilai Kita”.
Harapan 2026
Kita mahu generasi akan datang membesar dalam sebuah Malaysia yang bukan sahaja maju dari segi teknologi dan ekonomi, tetapi juga kukuh dari segi nilai.
Sebuah negara yang mampu menarik pelaburan kerana keyakinan, mengurus kekayaan negara dengan amanah dan rakyat menikmati kemajuan tanpa kehilangan maruah.
Akhirnya, apa yang kita idamkan adalah sebuah negara yang maju tanpa kehilangan nilai.
Hari Integriti Nasional adalah sebuah cermin yang mengajak kita setiap tahun untuk melihat kembali dan bertanya: Sejauh mana nilai yang kita laungkan benar-benar hidup dalam tindakan kita?
Maka, apabila kita menyebut: “Integriti Kita, Nilai Kita” kita sebenarnya sedang berbicara tentang sesuatu yang jauh lebih besar daripada sebuah tema sambutan.
Kita sedang berbicara tentang identiti, maruah, kepercayaan, kemajuan dan masa depan.
Nilai Malaysia akhirnya tidak hanya ditentukan oleh apa yang kita miliki sebagai sebuah negara, tetapi oleh nilai yang kita pegang sebagai rakyatnya, dan nilai itu bermula dengan kita.
Integriti kita, nilai kita. – UTUSAN
DATUK Seri Noridah Abdul Rahim ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia.
The post Integriti kita, nilai kita appeared first on Utusan Malaysia.



