
OGOS dan September ialah bulan-bulan yang amat besar maknanya buat negara dan seluruh rakyat Malaysia. Setelah menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu, dalam masa beberapa hari lagi, kita bakal menyambut sebuah lagi tarikh penting iaitu Hari Malaysia pada 16 September nanti.
Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia merupakan dua tarikh keramat dalam sejarah perjuangan negara yang harus sentiasa kita hayati dan fahami semangatnya sebagai penyuluh jalan ke hadapan.
Semangat inilah juga yang menjadi asas pembentukan identiti negara serta anak bangsa kita.
Asas pembentukan negara dibina atas kebijaksanaan dan kematangan, bukannya kekerasan atau pertumpahan darah. Kebijaksanaan pemimpin terdahulu memilih jalan perjuangan secara berhemah melalui rundingan terbukti memberikan banyak kelebihan kepada negara.
Malah, faktor rundinganlah juga membawa Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu bergabung sebagai Malaysia di tengah-tengah perebutan sengit yang turut membabitkan Indonesia dan Filipina pada ketika itu.
Namun, tidak dapat dinafikan masih ada dalam kalangan rakyat yang melihat strategi perjuangan tersebut sebagai kelemahan. Pandangan itu terus menjadi ungkitan mereka yang beranggapan sesebuah negara perlu dibina melalui pertempuran dan pertumpahan darah.
Pada ketika itu, golongan berhaluan kiri mahu rakyat turut mengangkat senjata dan berperang seperti yang berlaku di beberapa negara sekitar kita. Mereka mengagumi negara yang sanggup melalui pertumpahan darah demi mencapai kemerdekaan bangsa.
Bagi mereka, hanya dengan mengangkat senjata sahajalah dapat membentuk asas kekuatan bangsa. Namun, mereka lupa semangat kebangsaan dan jati diri juga boleh dibina daripada cinta kepada ibu pertiwi hasil kesedaran yang lahir daripada kejujuran dalam menaakul sejarah perjuangan negara.
Para pemimpin negara kita berjaya menggunakan kebijaksanaan dalam mengatur strategi secara aman dan bukannya menggunakan senjata. Hasilnya kita berjaya menyelamatkan ribuan nyawa dan harta benda rakyat daripada menjadi korban peperangan.
Mengelakkan pertumpahan darah bukan bermakna lemahnya semangat juang sehingga tidak berani menggadai nyawa demi negara. Sebaliknya, membuktikan kebijaksanaan dan kematangan bangsa yang bermaruah dalam mencapai matlamat yang diingini secara matang dan bijaksana.
Bukankah dunia hari ini sedang cuba sedaya upaya untuk tidak mengangkat senjata dan mengisytiharkan perang setiap kali berlakunya sebarang pertikaian atau konflik sesama kita? Seboleh-bolehnya kita berusaha untuk memelihara keamanan dunia.
Kita harus merasa bangga kerana sudah terbukti dengan memilih jalan damai merupakan tindakan taktikal yang bijak dan bermaruah. Tindakan ini bukannya bermakna kita tidak mempunyai keberanian untuk mempertahankan kedaulatan bangsa.
Malah, kita berbangga kerana hari ini Malaysia bukan sahaja dikenali sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan, malah turut dihormati kerana beberapa kali berjaya menjadi orang tengah dalam usaha mendamaikan konflik antara negara.
SEMANGAT KENEGARAAN
Justeru, semangat dan kebijaksanaan inilah yang harus kita tanam kukuh di jiwa setiap anak bangsa dalam mengharungi setiap cabaran yang mendatang.
Kita harus menjadi insan yang cintakan kedamaian dan sentiasa bertindak secara berhemah dan bijaksana dalam usaha menangani konflik.
Tidak dapat dinafikan sememangnya tindakan secara konstruktif seperti ini lebih sukar dipraktikkan kerana jalannya lebih panjang dan rumit berbanding tindakan secara fizikal berbentuk agresif seperti menyerang menggunakan kekerasan apabila berhadapan dengan masalah.
Dalam keadaan negara yang aman dan damai, ada pula pihak mengambil sikap menongkah arus. Kekerasan dan keangkuhan dilihat sebagai lambang kebebasan dan hak asasi manusia. Ironinya dalam masa sama, ramai daripada kalangan mereka tidak mengendahkan hak orang lain yang tidak sependapat dengan mereka.
Kita harus sedar kesejahteraan hidup yang dinikmati hari ini tidak datang secara bergolek dan akan hilang jika masing-masing bertindak sesuka hati serta tidak lagi menghormati undang-undang.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Jika nasi sudah menjadi bubur, sudah terlalu lambat untuk kita berpatah balik dan membaiki kerosakan yang telah dilakukan.
Jangan kita pandang remeh akan perkara-perkara kecil yang boleh memecah-belahkan hubungan harmoni dan ketenteraman rakyat. Sebarang perbezaan pendapat harus ditangani secara tuntas berlandaskan undang-undang dan peraturan dan bukannya dibiarkan merebak sehingga menjadi lebih parah.
Anak muda tidak boleh terlalu mudah lupa diri. Keangkuhan dan kesombongan bukanlah nilai yang harus diangkat dan dibanggakan. Kita bangsa yang bermartabat tinggi lagi bermaruah.
Ketibaan Hari Malaysia seharusnya menjadi pemangkin bagi menyuntik semangat kenegaraan. Ia harus menjadi peringatan untuk kita bekerja lebih kuat demi memajukan negara tercinta.
Rasa cinta terhadap negara tidak lengkap jika tidak memahami dan menghayati sejarahnya. Kisah-kisah yang lalu harus menjadi peringatan bukan sahaja bagi tidak mengulangi kesilapan lama tetapi untuk teruskan perkara yang baik.
Jangan harapkan keburukan sedangkan diberi rezeki yang lebih baik. Sebaliknya, ambillah iktibar serta manfaat daripada keamanan yang dianugerahkan kepada bangsa kita untuk terus membangun masa depan.
Inilah tujuan kita bersatu sebagai sebuah negara, meskipun dipisahkan oleh lautan luas, demi memupuk kesejahteraan bersama. Inilah juga yang dapat kita buktikan kepada dunia melalui sejarah keamanan negara, termasuk peralihan kuasa politik yang berlangsung secara aman.
Selamat menyambut Hari Malaysia 2026. Semoga negara kita terus aman dan makmur serta mampu memacu masa depan yang lebih sejahtera untuk seluruh rantau. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
The post Kedamaian bukti kematangan bangsa appeared first on Utusan Malaysia.






